
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat laluan alternatif ke bandar utama dari Pasir Puteh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, begitu juga lampu di 51 jalan perlu diselesaikan kerana kemalangan yang tinggi telah berlaku.
Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, contoh kesesakan yang sangat parah dari Pantai Timur sehingga ke Gombak, begitu juga laluan ke Shah Alam.
“Jalan-jalan yang dibina terutama di kawasan Pasir Puteh, Kelantan ada 51 batang jalan yang dibina oleh JKR yang tidak mempunyai kemudahan lampu dan 51 jalan ini kos dianggarkan oleh pihak JKR hanya RM1.5 saja.
“Saya sangat-sangat mengharapkan dalam dewan yang mulia ini supaya pihak JKR akan menyelesaikan isu ini kerana dia membabitkan kemalangan di waktu malam yang sangat agak tinggi.
“Saya nak sebut sangat tinggi pun nampak yang agak-agak tinggi yang menyebabkan kematian. Jadi saya minta kepada pihak JKR supaya mengambil satu tindakan,” kata beliau.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kerja Raya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam jawapannya memberitahu, beliau mengira dalam JKR Daerah Pasir Puteh telah ada permohonan yang berkaitan dan tentunya akan diambil perhatian, begitu juga di tempat-tempat lain.
“Apabila menyebut daripada lingkaran lebuh raya masuk ke bandar raya itu yang menjadi kesesakan yang teruk. Saya juga tentunya mengalami apabila balik menggunakan Lebuhraya Utara Selatan daripada Pontian ke KL misalnya selalu mengalami perkara yang berkaitan.
“Jadi kalau kita melihat secara keseluruhanlah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan juga jam menyebabkan ikut kata Yang Berhormat 500 jam setahun ini. Antara perkara yang dibuat bukan hanya kementerian kami, Kementerian JKR.
“Tapi juga melibatkan kementerian-kementerian lain seperti KPKT, maka kita inginkan dan Kementerian Pengangkutan supaya lebih banyak diadakan perjalanan sehala ataupun loop one way sebagai contoh di Petaling Jaya,” jelas beliau.
Menurutnya kerajaan menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, bas, kereta api.
“Tentunya kita ada jaringan lebuh raya yang seperti West Coast Express Way (WCE). LPT1, LPT2 itu dah lama ada tapi WCE ni baru siap. Apabila keseluruhan ini digabung dengan projek ECRL apabila siap, HSR baru nak mula.
“Patutnya dah siap tapi oleh kerana pertukaran kerajaan dibatalkan apa semua kalau tidak dah siap seperti Bandung (ke) Jakarta yang lebih lewat daripada kita tapi dah siap lebih awal (ke) daripada kita.
“Jadi ini apabila kita gabungkan termasuklah car pool berkongsi kereta antara rakyat. Perkara ini jika dilaksanakan secara serentak termasuk Smart Lane dibuka ketika waktu-waktu yang tertentu, lorong kecemasan boleh diguna, di lebuh raya, maka semuanya itu boleh.
“Dicampurkan lagi work from home ya, dicampurkan lagi jadual kerja flexi hours (waktu fleksibel) 7:30 (ke) 9:00 pagi mungkin boleh diawalkan kepada 7:00 ke 8:30 pagi. Balik 4:30 hingga 6:00 petang mungkin boleh diawalkan pada 4:00 hingga 5:30 petang.
“Jadi mengikut Pekeliling 2019 itu juga kita mencadangkan agar flexi hours, jadual kerja, penjawat awam boleh diawalkan setengah jam daripada sekarang 7:30 kepada pukul 7:00,” jawab beliau.
Dr Nik Zawawi dalam soalan asalnya meminta dinyatakan strategi dan tindakan yang akan diambil pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah ketidakcekapan sistem jalan raya khususnya di bandar-bandar utama sehinggakan rakyat secara purata membazirkan masa hampir 500 jam setahun akibat kesesakan jalan raya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024




















