Pertumbuhan ekonomi negara berdepan tiga halangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, Malaysia bakal berhadapan dengan tiga halangan utama untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang disasarkan oleh kerajaan.

Menurut beliau, tiga perkara utama itu ialah eksport yang rendah; penyusutan imbangan akaun semasa; dan kemerosotan dalam perbelanjaan isi rumah.

- Advertisement -

Jelas beliau, komponen eksport pada tahun lepas dari Mac hingga Disember menurun selama 10 bulan berturut-turut yang mana ia adalah kali pertama dalam sejarah sejak 15 tahun lepas.

“Seterusnya kita boleh lihat juga bagaimana kejatuhan mendadak Imbangan Akaun Semasa daripada RM9.14 bilion pada suku ketiga kepada RM253 juta ringgit pada suku keempat 2023 dan ini juga merupakan yang terendah dalam sejarah sejak krisis ekonomi 1997.

“Jadi apakah kerajaan melihat kesan perkara ini kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tahun 2024? Kerana apa, kerana komponen utama kita lihat dalam tahun 2023, komponen eksport ini tidak menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Tambah Radzi, dalam masa yang sama perbelanjaan isi rumah yang menjadi satu lagi komponen terbesar dalam pertumbuhan ekonomi turut menurun pada suku keempat 2023.

Jelas beliau, ia disebabkan oleh kenaikan cukai dan pengenalan cukai-cukai baharu yang mungkin menyebabkan pengguna lebih pesimistik untuk berbelanja.

“Jadi bagaimana kerajaan melihat keadaan ini dan walaupun Yang Berhormat Menteri tadi kata kerajaan akan memperkenalkan ‘fiskal mengembang’,

“Iya, betul, expensionary. Namun begitu jumlah defisit tahun ini target kerajaan adalah untuk menurunkannya kepada tahap yang jauh lebih rendah.

“Ini bermakna satu lagi komponen pertumbuhan ekonomi iaitu perbelanjaan kerajaan akan berkurangan. Jadi bagaimana kerajaan melihat keseluruhan impak ketiga-tiga komponen besar ini, terutamanya imbangan akaun semasa tadi,” katanya.

Radzi berkata demikian semasa mencelah sewaktu penggulungan ‘Perbahasan Junjung Kasih Titah Ucapan di-Raja’ oleh Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa menjawab pertanyaan itu berkata, asas ekonomi telah pun menunjukkan perkembangan positif khususnya untuk prestasi eksport yang telah nampak pulih mula Januari 2024 dengan peningkatan sebanyak RM8.7 peratus selepas menguncup.

“Yang ni pun kalau kita tengok daripada segi unjuran IMF, kalau kita tengok tahun lalu, perkembangan global dunia jatuh kepada 0.4 peratus sahaja.

“Tetapi dijangka untuk tahun ni ia akan mengembang kepada 3.3 peratus kerana perkembangan-perkembangan dunia yang lebih elok ni, prospek untuk Malaysia dijangka lebih elok lagi pada tahun yang ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -