
JERAI: Terdapat lebih daripada 503 batang pokok mempelam daripada 111 jenis klon ditanam di Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, terdapat klon Padang Lumat, klon Permatang Buloh, D’ Aman (Harumanis), Thailand, Vietnam, termasuk paling istimewa klon Mesir.
“Kami dibawa sendiri melihat sendiri pokok-pokok mempelam yang ada di pusat ini. Tetapi kena naik skuter atau basikal elektrik kerana kawasannya luas,” kata beliau.
Dalam pada itu katanya, kawasan Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan semakin cantik, lanskap menarik di samping kemudahan lain, termasuk tempat pengunjung bergambar.
Selain itu jelasnya, pengunjung juga boleh membeli mempelam yang disediakan di pusat itu dengan harga berpatutan.
“Saya dimaklumkan ramai pengunjung yang datang melawat kawasan ini, antaranya dari sekolah, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. Jadi eloklah penduduk berhampiran juga ambil peluang untuk melihat dan melawat pusat ini,” katanya.
Katanya, pada April akan datang, Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan akan mengadakan Kempen Jom Mai Makan Pelam selama seminggu.
Justeru beliau mengajak masyarakat agar hadir beramai-ramai merai dan menjayakan program berkenaan.
Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan ditubuhkan pada 1977 dan dikendalikan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
Ia terletak di mukim Sala Besar dalam daerah Yan, kira-kira 18 kilometer dari Alor Setar dengan keluasan 4.8 hektar.
Selain pusat penanaman mempelam, ia juga kini menjadi pusat lawatan dan rujukan kepada maklumat berhubung tanaman mempelam. – HARAKAHDAILY 11/3/2024











