Terengganu perluaskan manfaat Teknologi Digital

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menjelang tahun 2030, Terengganu berhasrat akan menjadi sebuah negeri ‘technologically-advanced economy and digitally-driven state’, sebagai sebuah negeri yang hala tujunya dipandu oleh teknologi digital dalam pelbagai aspek yang berbeza.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, Bengkel Projek E-Government Negeri Terengganu (BPNT) telah diwujudkan bagi tujuan memperkasakan lagi agensi-agensi yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan Terengganu

- Advertisement -

Katanya, antara agensi terlibat seperti Mentri Besar Terengganu Incorporated (MBI), Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Development (TAJDID), Terengganu Telecommunications Sdn Bhd (TCOM) dan Top IT Industries Sdn Bhd (TOP IT).

“Alhamdulillah, bermulanya BPNT yang merupakan salah satu di bawah Portfolio saya iaitu Ekonomi Digital yang bertujuan bagi merangka transformasi Terengganu maju menjelang tahun 2030.

“Pembentangan BPNT ini melibatkan pembentangan oleh Jabatan Digital Negara (JDN).

“Antara agenda yang menjadi keutamaan adalah ekosistem perkongsian data yang merangkumi tadbir urus digital dan platform perkongsian data terjamin untuk memperkasa dan meningkatkan perkhidmatan dalam talian sepenuhnya (E2E) ke arah kerajaan berpacukan data,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri turut berkata, program BPNT berupaya memperkukuhkan lagi bidang kuasa setiap agensi dalam menjalankan gerak kerja.

Di samping itu katanya, BPNT turut membolehkan maklumat diselaras dan dikongsi dengan lebih efisien serta berupaya mengurangkan kos penyediaan infrastruktur dan pengintegrasian sistem.

Secara keseluruhannya, kemajuan dalam teknologi dan pendigitalan amat ketara dan kini berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan laluannya ke arah ekonomi digital.

Mohd Nurkhuzaini turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada JDN kerana telah berkongsi produk-produknya seperti Gerbang Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOS Gateway), Pertukaran Data Pusat Kerajaan Malaysia (MyGDX), Data raya, Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu (myGOVUC), Pusat Data Sektor Awam (PDSA) dan Sistem Pengurusan Dokumen Digital (DDMS) dalam bengkel tersebut.

“Mudah-mudahan dengan maklumat yang diperolehi dalam bengkel ini dapat memantapkan lagi kerajaan negeri Terengganu dalam penerusan dan perlaksanaan E-Government @ Digital Negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -