
KUALA LUMPUR: Pemberian suntikan Vaksin Papilomavirus Manusia (HPV) bagi mencegah kanser serviks bermula pada 2 Mac 2024 di lokasi terpilih setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi oleh wanita di negara ini yang membabitkan 12 peratus daripada semua kanser selepas kanser payudara dan usus besar.
Kajian yang dilakukan mendapati seramai 604,000 wanita di Malaysia telah diserang kanser serviks dan mengakibatkan kematian 342,000 pesakit di seluruh dunia.
Beliau turut memberitahu, satu program akan dilaksanakan untuk mencegah kanser ini terus merebak dalam kalangan wanita di negara ini adalah melalui kerjasama ahli-ahli jawatankuasa Parlimen Kapar bersama Pejabat Penghulu dan National Cancer Society Malaysia (NCSM).
“Program ini dikhususkan kepada kelompok wanita yang tercicir dari suntikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di sekolah akibat pandemik Covid-19.
“Kumpulan sasaran adalah ditumpukan kepada wanita yang berusia antara 13-20 tahun dalam kalangan ibu tunggal, remaja keciciran sekolah, golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), uzur dan berpenyakit kronik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Sehubungan itu, Dr Halimah turut memberitahu bahawa mereka yang belum lagi menerima suntikan HPV, boleh membuat pendaftaran segera melalui Google Form dengan mengesan QR code yang diberikan di https://forms.gle/XTVLDwZu228xJdYH6.
Tarikh suntikan vaksin HPV bermula 2 Mac 2024 di lokasi terpilih setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau turut menasihatkan agar semua wanita diluar sana sentiasa cakna dan mementingkan aspek kesihatan diri masing-masing. – HARAKAHDAILY 21/2/2024




















