PMX tak perlu marah rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri ke-10 (PMX) tidak perlu marah apabila rakyat ulang apa yang disebutnya dahulu, “Sebab apa Ringgit jatuh? Sebab ‘hang’ tak pandai jaga negara ini!”

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Abu Umair Jamaludin berkata, rakyat sudah muak dengan alasan atau formula kerana hanya mahu lihat tindakan, dan jika tidak mampu merealisasikannya, PMX diminta untuk meletakkan jawatannya.

- Advertisement -

“Dewan Pemuda PAS Selangor menyelar sikap ‘lepas tangan’ PMX yang enggan menjawab soalan apabila ditanya soal kejatuhan nilai Ringgit.

“Lebih mengecewakan lagi, beliau meminta Gabenor Bank Negara untuk mengambil tanggungjawab tersebut,” katanya.

Menurut beliau, sudah tentu individu yang paling layak menjawab isu sebegini ialah PMX sendiri, bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, tetapi sebagai Menteri Kewangan.

“Gabenor Bank Negara hanya menguruskan dasar monetari sahaja seperti dasar mengawal kadar faedah pinjaman,” tegas Abu Umair dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Ringgit jatuh bukan kerana dasar monetari semata, tetapi kerana fungsi Menteri Kewangan yang tidak efisien bagi merangka struktur ekonomi, dasar fiskal, meyakinkan pelabur dan lain-lain.

“Mengapa mahu tuding kelemahan kepada orang lain pula? Media antarabangsa seperti Bloomberg pun ada melaporkan bahawa antara punca nilai Ringgit terus jatuh ke paras paling rendah sejak 26 tahun lalu.

“Ini adalah kerana pertumbuhan ekonomi yang mengecewakan pada tahun 2023 membuatkan pelabur asing semakin menarik wang pelaburan mereka dari Malaysia.

“Kejatuhan mata wang negara ini membuatkan semakin ramai rakyat Malaysia mula meninjau pasaran kerja di negara jiran seperti Singapura dan Brunei yang mempunyai nilai mata wang yang lebih kukuh.

“Adakah kerajaan tidak mempunyai kerisauan terhadap kesan jangka masa panjang trend sebegini terhadap ekonomi negara?” soal beliau.

Terdahulu, media melaporkan nilai mata wang negara setakat petang 20 Februari 2024 sudah mencecah RM4.80 bersamaan 1 Dolar Amerika (AS$)
Abu Umair menegaskan, perkembangan terbaharu itu telahmemecahkan rekod terburuk nilai Ringgit sejak tahun 1998.

“Ketika krisis mata wang Asia pada waktu itu ( 9 Januari 1998), Ringgit pernah mencecah RM4.70 berbanding 1 Dolar Amerika.

“Ironinya, Menteri Kewangan pada tahun 1998 itu dan Menteri Kewangan pada tahun 2024 ini adalah orang yang sama,” dedahnya.

Justeru beliau menimbulkan persoalan, sejauh manakah impak kejatuhan nilai Ringgit ini kepada negara?

“Saya ambil contoh pada 2022, Malaysia mengimport produk makanan bernilai kira-kira AS$17.2 bersamaan RM75.6 bilion.

“Jika nilai import itu dihitung pada tahun ini, Malaysia perlu berbelanja RM82.4 bilion. Hampir RM6.8 bilion peningkatan setahun.

“Soalnya, jika soalan yang ditanya pun tidak mahu dijawab, apa lagi yang boleh diharapkan kepada Menteri Kewangan kita ini?,” katanya. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -