Menteri Kewangan ke mana menghilang?

- Advertisement -

KUALA KRAI: Bermula semalam Ringgit jatuh kepada RM4.80 untuk 1 Dolar Amerika (AS$) manakala 1 Dolar Singapura (SGD) bersamaan RM3.57, dan 1 Bath menyamai RM0.13.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kejatuhan Ringgit yang tidak berpenghujung itu, sudah tentu memberi impak yang tidak baik kepada ekonomi negara.

- Advertisement -

“Sedangkan sebelum ini bekas Ketua Pembangkang era kerajaan sebelum ini menyifatkan ‘duit jatuh kerana hang tak pandai memerintah negara’,” katanya.

Menurutnya, di sebalik kejatuhan nilai mata wang yang teruk paling memberikan kesan ke atas kenaikan harga barangan keperluan harian.

“Kenaikan harga barang-barang keperluan begitu mendadak. Harga seekor ayam kini menghampiri RM10 untuk 1 kilogram, manakala telur ayam ula masih sekejap ada, sekejap tiada; dan sayur-sayuran tidak terjangkau harganya,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi menyelamatkan keadaan, seorang ‘ahli parlimen yang lompat parti Rabu lepas’ mengumumkan beras Madani akan menggantikan beras tempatan dijual dengan harga RM26 kepada RM30.

Namun pada Sabtu pula, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu mengumumkan beras itu masih lagi dalam kajian.

“Pening rakyat memikirkan ke mana hilangnya beras sebelum ini, dan lebih pening lagi rakyat memikirkan kenaikan harga yang mendadak.

“Tentunya bulan Mac nanti rakyat akan lebih terkesan apabila cukai perkhidmatan akan bermula, di samping menyambut Ramadan dan Syawal dengan perbelanjaan makin meningkat dan membebankan.

“Menteri Kewangan ke mana menghilang? Senyap membisu. Sekarang bila ditanya, boleh pula dia kata akan dijawab oleh Gabenor (Bank Negara). Semudah itu ya!” katanya. – HARAKAHDAILY  21/2/2024

- Advertisement -