Rakyat tempatan main peranan penting tangani kebanjiran warga asing

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kebanjiran warga asing di bandar utama negeri ini mula menimbulkan kebimbangan masyarakat tempatan lebih-lebih lagi apabila terdapat dakwaan bahawa mereka turut memiliki premis perniagaan sendiri.

- Advertisement -

Operasi bersepadu Ops Kutip yang dilaksanakan pada 5 Januari lalu melibatkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seramai 238 warga asing dari pelbagai negara.

Namun, angka tangkapan itu dipercayai jauh lebih kecil daripada angka sebenar kewujudan warga asing di seluruh negeri ini yang turut mendiami kawasan pedalaman.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd Anis Hussein berkata, antara faktor kebanjiran warga asing di Kota Bharu adalah pembangunan di seluruh Kelantan dengan beberapa projek mega khususnya sektor pembinaan dan perumahan.

Selain itu katanya, faktor keselamatan, kestabilan politik, ekonomi dan sosial turut menarik warga asing untuk terus bermaustatin di Kelantan.

Implikasi kebanjiran mereka ini yang didedahkan media serta dakwaan warganet adalah memiliki perniagaan kedai runcit, kedai makan dan lain-lain perniagaan seolah-olah berleluasa dengan bebas tanpa perhatian pihak berkuasa.

“Dari segi integriti, saya memberi penuh kepercayaan warga kerja MPKB atas dasar kita sendiri bila kita nak meluluskan lesen premis perniagaan kepada peniaga-peniaga melalui Jawatankuasa Penjaja dan Jawatankuasa Perlesenan yang dianggotai oleh ahli majlis kita dan juga jabatan-jabatan yang terlibat.

“Jadi sebarang permohonan kita akan tapis dahulu dan kita akan panggil peniaga untuk ditemu duga. Dan mana-mana yang kita berpuas hati, akan diberi kelulusan untuk diberikan lesen premis perniagaan,” katanya.

Katanya, hal ini kerana sesetengah majikan tidak bertanggungjawab dan menyalah guna lesen atau permit perniagaan, sekali gus memberi ruang kepada warga asing untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Kita amat bimbang kerana sesetengah peniaga memberikan peluang kepada mereka (warga asing) untuk berniaga. MPKB beri lesen atau permit kepada peniaga tempatan, tetapi mereka pula menjual kepada warga asing. Hasil pemeriksaan dan lawatan secara mengejut memang membuktikan perkara ini berlaku dalam kalangan peniaga tempatan di Kota Bharu,” katanya.

Kahwini rakyat tempatan

Selain pemilikan perniagaan, turut menjadi perhatian, polemik perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing di Kelantan, namun, MPKB-BRI sendiri tiada kuasa untuk menghalang suatu perkahwinan kerana ia melibatkan prinsip agama dan perkahwinan itu adalah sah.

“Itu cara mereka untuk tinggal lama di sini dan memang kita tak menafikan perkara itu berlaku di tempat kita. Masalahnya kita tak dapat membendung berkenaan urusan perkahwinan kerana ia melibatkan agama dan kita tiada hak untuk menghalang orang untuk berkahwin.

“Cuma kita nasihatkan warga tempatan yang ingin berkahwin dengan warga asing supaya fikir secara mendalam terlebih dahulu kesan sekiranya berlaku perkara yang tidak elok sebelum menerima mereka dalam hidup kita,” nasihat beliau ketika ditemui UPKN di pejabatnya, hari ini.

Oleh itu, beliau berharap agar masyarakat tempatan dapat membantu pihak berkuasa dengan membuat aduan sekiranya ada kes-kes melibatkan warga asing bukan sahaja di Kota Bharu, malah beliau menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama dalam membanteras masalah kebanjiran warga asing demi kesejahteraan negeri Serambi Makkah ini.

Tegasnya, Ops Kutip akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama semua pihak, khususnya rakyat Kelantan bagi memelihara kerukunan hidup bermasyarakat.– HARAKAHDAILY  19/2/2024

- Advertisement -