
KUALA LUMPUR: PAS sentiasa istiqamah dan terus menyokong langkah ke arah memartabatkan syariah dalam negara ini bersama-sama dengan sebarang pihak dan dalam masa yang sama, akan terus menegur mana-mana kumpulan yang bertindak melemahkannya.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, RUU 355 telah disemak dan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt 2022 semasa berada di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
“RUU 355 sepatutnya dibentangkan dalam sidang Parlimen pada hujung bulan itu, namun ia terhenti akibat pembubaran parlimen ke-14.
“Alhamdulillah, pindaan terhadap RUU 355 telah diberikan jaminan oleh Menteri Agama akan dilaksanakan dalam tahun ini,” jelasnya
Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memberitahu bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu patut disokong dan mendapat kelulusan di Parlimen oleh majoriti wakil rakyat.
Menurut beliau lagi, PAS memberi jaminan akan memberi sokongan penuh terhadap langkah kerajaan ini.
“Hal ini telah diajar oleh Islam melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 menyebut: “..Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan”.
“Diharapkan agenda ini mendapat sokongan daripada parti-parti komponen dalam kerajaan dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semalam (18 Februari) memberitahu bahawa sesi libat urus mengenai yang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 19/2/2024




















