
KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dengan membuang klausa dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual 9 di mana mengehadkan peruntukan kepada Mahkamah Syariah dari perkara yang terdapat dalam Senarai Persekutuan.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, dengan pindaan ini, pemerkasaan undang-undang syariah di negeri-negeri akan dapat dilaksanakan.
“Klausa yang dimaksudkan ialah ‘kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan’,” ujar beliau hari ini dan memaklumkan sesi perbincangan bersama wakil peguam dan NGO telah diadakan pada Sabtu lalu.
PUM turut meminta supaya pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1984) atau Akta 355 dipercepatkan untuk dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.
Menurut beliau, melalui sesi perbincangan yang telah diadakan, terdapat cadangan supaya Mahkamah Syariah juga diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah dicadangkan agar penubuhan Mahkamah Syariah disebut dengan jelas dalam peruntukan ini sebagai punca kuasa penubuhannya agar mahkamah syariah mempunyai kedudukan yang diiktiraf dalam sistem perundangan di Malaysia,” ujarnya.
Umat Islam juga peringatnya, perlu berwaspada atas usaha ‘strategic litigation’ yang dilakukan oleh pelbagai pihak sejak beberapa dekad untuk melemahkan perundangan Islam dan Mahkamah Syariah.
“Keputusan-keputusan badan kehakiman sejak akhir-akhir ini, termasuk berkaitan Doktrin Struktur Asas, telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menyempitkan bidang kuasa mahkamah syariah yang sedia ada dan seterusnya, boleh melemahkan institusi dan perundangan Islam di negeri-negeri.
“Oleh itu, semua pihak perlu bersatu hati dan berpadu tenaga berusaha supaya perundangan Islam dan mahkamah syariah dimartabatkan di Malaysia dan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja sebagai Ketua Agama Islam negeri dipertahankan,” katanya.
Dato’ Wan Mohamad menyeru semua pihak agar berusaha ke arah pengukuhan dan pemerkasaan kedudukan Mahkamah Syariah yang merupakan syiar perundangan Islam bagi semua umat Islam di Malaysia. – HARAKAHDAILY 19/2/2024


















