
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi galakan kepada rakyat supaya terlibat lebih banyak aktiviti yang patuh syariah bagi memupuk kehidupan lebih berkat termasuk membuat simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, kerajaan sudah menyediakan dua kaedah simpanan iaitu konvensional dan syariah bagi menepati kesedaran masing-masing, malah urusan tersebut menjadi keutamaan bagi orang Islam.
Beliau berkata, KWSP sebelum ini mengumumkan dividen 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus bagi simpanan syariah, membabitkan masing-masing jumlah RM50.33 bilion untuk konvensional dan RM7.48 bilion untuk syariah.
“Sedarkan ibadah dan doa seseorang Muslim boleh jadi tumpul, tidak makbul akibat makanan haram hasil wang perbelanjaan haram, persoalan saya kenapa KWSP tidak mewajibkan bagi orang Islam menggunakan syariah berbanding konvensional?
“Ini kerana sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, perkara ini hendaklah menjadi keutamaan dalam masa yang sama juga, insuran kenderaan dan sebagainya, hendaklah diberikan keutamaan orang Islam menggunakan takaful,” katanya.
Berucap dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai itu turut membangkit masalah karenah birokrasi yang berlaku di terminal lapangan terbang.
Beliau mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar memantau operasi syarikat penerbangan berkaitan dengan jadual yang tidak menentu dan perubahan masa di mana dahulu disebut ‘delayed’, kini diubah kepada ‘re-time’.
Menurutnya syarikat terbabit menukar waktu ditetapkan dan berlepas tangan, tanpa mengambil kira masa dan masalah pengguna yang mungkin bakal terlepas mesyuarat mahupun program penting, selain harga tiket semakin meningkat kebelakangan ini.
“Masalah kedua ialah isu tiket yang terlalu mahal khususnya di musim tertentu termasuk di hujung minggu, kami dari Semenanjung ada pilihan menaiki kenderaan darat jika tiket terlalu mahal, tetapi bagaimana kawan-kawan kita dari negeri Sabah dan Sarawak?
“Adakah kerajaan bersedia menetapkan harga siling bagi setiap sektor penerbangan agar kenaikan harga tidak melambung terlalu tinggi khususnya di musim tertentu dan harga tiket ini sangat-sangat membebankan pada ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024




















