
KUALA LUMPUR: Pengumuman penetapan harga Beras Madani RM30 bagi 10 kilogram (kg) menggantikan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang hanya berharga RM26 dilihat menjadi satu tamparan buat rakyat Malaysia.
Aktivis Politik, Shahir Adnan berkata, pengumuman oleh Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu ia merupakan kenaikan harga yang ketara.
“Harga siling bagi beras putih naik itu setelah dijenamakan semula semua beras putih tempatan dan import. Lebih parah, pek satu kg pula berharga RM3.50 walhal sebelum ini harga kawalan maksimum beras super spesial adalah RM2.60. Naik 90 sen setiap satu kilo,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Beliau turut memberitahu, sehingga semalam, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, masih belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat NACCOL pada masa akan datang.
“KPKM ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang telah dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu pada 14 Februari lalu. Berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, perkara berkaitan harga dan kawalan beras hanya boleh dibuat oleh Menteri bertanggungjawab.
“Bukannya Pengerusi Jawatankuasa Kluster yang telah mengumumkan harga ini berkuatkuasa pada 19 Februari,” ujarnya menyangkal pengumuman Syed Abu Hussin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Shahir turut memberitahu, secara dasarnya beliau bersetuju dan menyokong kenyataan Pengerusi Lajnah Kepenggunaan PAS, Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin bahawa Kerajaan Madani gagal dalam menangani isu ketiadaan beras SST yang dimanipulasi oleh kartel beras.
“Kegagalan ini cuba ditutup dengan menjenamakan semula beras putih tempatan dan import. Akibatnya harga dinaikkan dan rakyat menderita. Rakyat baru sahaja berada dalam bulan kedua tahun 2024. Tetapi, isu kos sara hidup masih belum selesai, malah bertambah parah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, dijangkakan bulan Mac nanti, pelbagai cukai akan dikenakan, termasuklah cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Malaysia naik kepada 8 peratus.
Manakala, Cukai Perkhidmatan Digital (DST) turut naik kepada 8 peratus dan tambang bas sekolah juga dijangka naik di mana keadaan ini menyebabkan rakyat akan terus dihimpit dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. – HARAKAHDAILY 19/2/2024




















