Pemain Palestin menangis, pertama kali menang di Piala Asia

Skuad bola sepak kebangsaan Palestin meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama mereka dalam perlawanan Kumpulan C menentang Hong Kong di Stadium Abdullah bin Khalifa, Doha, Qatar pada 23 Januari 2024. (FOTO: CNN)
- Advertisement -

DOHA, Qatar: Pasukan bola sepak kebangsaan Palestin mara ke peringkat kalah mati Piala Asia 2023  buat pertama kali selepas menewaskan Hong Kong 3-0 pada Selasa dalam perlawanan Kumpulan C yang dipenuhi dengan emosi daripada pemain dan raungan simpati penonton.

Kemenangan itu, kali pertama pasukan itu di Piala Asia, mengesahkan tempat mereka dalam pusingan 16 sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik tempat ketiga pada kejohanan di Qatar itu.

Penyerang, Oday Dabbagh adalah wira di Stadium Abdullah bin Khalifa di Doha, meraih dua gol kedua-duanya hasil tandukan daripada rakan penyerang, Zeid Qunbar.

Momen sukan bersejarah bagi rakyat Palestin datang ketika perang Israel terhadap Hamas berikutan serangan kumpulan itu pada 7 Oktober di Semenanjung Gaza, menyebabkan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang dahsyat, yang mana kematian rakyat Palestin di Tebing Barat juga meningkat pada masa yang sama.

- Advertisement -

Sepanjang permainan, 6,500 penonton di Qatar meraung penuh emosi untuk pasukan Palestin dan pada wisel penamat, kesemua pemain Palestin menangis kegembiraan, lapor CNN

Pemain pertahanan Mohammed Saleh, yang dilahirkan di Gaza, dilihat menangis teresak-esak dan melutut di atas tanah, dengan mukanya disembam di rumput.

Beberapa pemain Palestin dilaporkan telah kehilangan ahli keluarga, atau mempunyai saudara mara yang terperangkap di Gaza, dan telah bercakap tentang kesukaran bermain sambil tidak mengetahui apa yang berlaku di rumah.

Ramai daripada mereka yang berada di tempat duduk di Qatar mengibarkan bendera Palestin atau mengangkat selendang keffiyeh untuk menunjukkan sokongan kepada pasukan. 

Reaksi penyerang Palestin, Mahmoud Wadi (kiri) dan pemain tengah Oday Kharoub kepada penyokong selepas perlawanan bola sepak Kumpulan C Piala Asia AFC Qatar 2023 antara Hong Kong dan Palestin di Doha. (FOTO: AFP)

Walaupun keffiyeh dipakai di seluruh Timur Tengah, dalam beberapa dekad kebelakangan ini ia telah dikenal pasti khususnya sebagai simbol identiti dan penentangan Palestin.

Negara kecil Teluk Parsi itu telah memainkan peranan penting dalam usaha untuk menjadi pengantara perjanjian untuk membebaskan tebusan yang diambil oleh serangan Hamas di Israel, serta memindahkan warga asing dari Gaza dan mendapatkan bantuan ke dalam kawasan itu.

Jurulatih Palestin, Makram Daboub memuji barisan pemainnya selepas perlawanan itu, memanggil mereka ‘wira’.

“Tahniah kepada rakyat Palestin kerana layak ke pusingan seterusnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain saya, mereka adalah wira hari ini,” kata Daboub.

Sokongan padu penonton tanda solidariti ketika perlawanan Palestin dan Hong Kong di Doha, Qatar.

“Dengan semangat berpasukan yang kuat, cita-cita kami adalah untuk mara jauh dalam kejohanan ini. Kini, tanpa kehilangan apa-apa, kami akan memberikan yang terbaik.

“Kami telah menunjukkan harapan dan saya percaya kami boleh mengekalkan fokus ini untuk perlawanan akan datang,” tambahnya.

Turut mara ke pusingan 16 Piala Asia buat pertama kali ialah Syria, yang menewaskan India 1-0 juga pada Selasa, keputusan yang dipuji sebagai ‘impian menjadi kenyataan’, oleh jurulatih Hector Cuper.

Syria akan menentang Iran pada pusingan seterusnya, manakala lawan Palestin masih belum dapat disahkan.

Ketika pasukan Palestin mara ke peringkat kalah mati di Qatar, kembali ke tanah air kempen ketenteraan Israel semakin giat di selatan Gaza.

Pasukan kebangsaan Palestin berjaya melayakkan diri mereka antara 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia 2023.

Beribu-ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal melarikan diri dari Khan Younis ketika tentera Israel berkata ia telah mengepung bandar itu di tengah-tengah operasi selanjutnya di barat kawasan itu. 

Kemudahan perubatan di bandar itu telah terjejas di tengah-tengah serangan Israel di kawasan itu, kata pegawai kesihatan Palestin pada Isnin, ketika jumlah orang yang terbunuh dalam kepungan Israel di Gaza terus meningkat.

Pada Isnin juga, kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza berkata, jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023  telah meningkat kepada 25,295 orang, dengan sekurang-kurangnya 63,000 yang lain direkodkan mengalami kecederaan.  HARAKAHDAILY  24/1/2024

- Advertisement -