Nushi turun padang tangani isu Pangsapuri D’Kayangan

Nushi (lima dari kanan) ketika bertemu dengan wakil Persatuan Penduduk Pangsapuri D'Kayangan, Setia Ecohill, Selangor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz menggunakan pendekatan turun padang mendengar sendiri luahan rakyat setempat bagi menyelami masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata, kaedah itu merupakan cara terbaik dilaksanakan selepas diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

“Kami meluangkan masa mendengar pelbagai luahan hati wakil-wakil penduduk.

“Saya selalu mengingatkan diri saya, akan hadith Nabi SAW tentang sifat amanah yang akan dipertanggungjawabkan kepada pemimpin tidak kiralah sebagai ketua keluarga, apatah lagi amanah sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ini.

“Daripada Hadis Riwayat Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda: Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin bertanggungjawab terhadap orang bawahan dipimpinnya. Seorang lelaki ialah pelindung ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya.

“Seorang wanita di rumah suaminya ialah pelindung dan penjaga bertanggungjawab terhadap jagaannya. Begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya. 

“Betapa berat peringatan Nabi SAW agar berusaha untuk bersifat amanah pada setiap apa yang akan dipersoal di depan Allah SWT kelak,” kongsinya. 

- Advertisement -

Beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Pusat berkesempatan bertemu dengan wakil Persatuan Penduduk Pangsapuri D’Kayangan, di Setia Ecohill, Selangor, yang telah membuat aduan berkenaan dengan tekanan air yang terlalu rendah. 

Katanya, masalah ini telah memberikan impak negatif yang amat menyusahkan kehidupan harian penduduk.

Selain itu, wakil penduduk di kawasan perumahan itu turut menyampaikan berkenaan isu rumah sampah yang tidak dibenarkan penggunaannya oleh pihak pengurusan (MO). 

“Wakil penduduk memberitahu, keadaan ini telah menyukarkan kehidupan mereka terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). 

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa membuang sampah jauh dari blok kediaman yang mereka tinggal,” jelasnya.

Nushi menggunakan pendekatan turun padang mendengar sendiri luahan rakyat setempat bagi menyelami masalah yang dihadapi mereka.

“Wakil penduduk turut memberitahu berkenaan masalah parking motorsikal yang mendap di kawasan perumahan itu. Ketika hendak pergi kerja, penduduk terkejut apabila melihat motor terbalik akibat parkir yang mendap. 

“Persatuan penduduk berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah proaktif untuk memastikan keadaan parkir yang selamat dan teratur bagi semua penduduk,” ujarnya.

Tambah beliau, penghuni Pangsapuri D’Kayangan juga turut mengadu mengenai wang deposit pengubahsuaian (renovation) oleh pemaju yang sepatutnya dipulangkan kepada penduduk masih lagi belum dipulangkan.

Justeru itu, beliau menegaskan akan mengambil tindakan segera melalui koordinasi dengan pihak berkuasa setempat dan agensi terbabit untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat tersebut. 

“Insya-Allah, kamı akan mengambil tindakan segera. Sya harap semoga masalah yang dihadapi oleh penduduk Pangsapuri D’Kayangan ini dapat diselesaikan dengan segera demi kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.  HARAKAHDAILY  24/1/2024

- Advertisement -