
KUALA LUMPUR: Generasi muda merupakan aset penting yang perlu dibentuk dan dibina (tarbiyah) agar kekuatan fizikal yang dimiliki oleh mereka bergerak selari dengan panduan agama sekali gus menghasilkan tindakan yang memberi keuntungan kepada agama, bangsa dan negara.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni dalam satu risalah penerangannya berkata, para Nabi dan Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Katanya, perkara ini merupakan satu tanggungjawab yang besar dan amat sukar di mana ianya memerlukan ketabahan dan pengorbanan yang tinggi.
“Perjuangan para nabi dan Rasulullah SAW turut didokong oleh para sahabat yang setia. Antara pendokong setia para nabi dan Rasulullah SAW adalah golongan pemuda yang beriman dan soleh.

“Kekuatan fizikal golongan pemuda yang digandingkan dengan pengalaman golongan Assabiqun telah menjadi tonggak kekuatan kepada perjuangan para nabi dan Rasulullah SAW.
“Jika kita menyelusuri kisah Ashaabul Kahfi, ternyata mereka adalah sekumpulan pemuda yang beriman. Begitu juga golongan sahabat yang berjuang bersama Rasulullah SAW, ramai terdiri daripada golongan pemuda,” ujarnya.
Abu Irfan turut berkongsi bahawa generasi sahabat yang terkenal telah dididik dengan asas akidah yang kukuh sehingga mereka jauh daripada perbuatan syirik kepada Allah SWT.
“Dengan keyakinan yang jitu membolehkan mereka berani mempertahankan kebenaran Islam dan menjadi mata rantai untuk meneruskan perjuangan.
“Realiti pemuda-pemudi pada hari ini adalah gambaran masyarakat yang akan mencorak negara pada masa hadapan,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau turut menitipkan doa kepada Allah SWT agar golongan muda- mudi yang ada pada masa kini dapat mewarisi dan memberi sumbangan kepada semua pihak. – HARAKAHDAILY 24/1/2024




















