
KOTA BHARU: Sungai Kelantan di Kuala Besar, di sini, pada hari ini, sudah melepasi tahap bahaya apabila aras air mula mencecah 2.72 meter berbanding paras normalnya iaitu 1.85 meter.
Sementara itu, Sungai Melor di Jambatan Melor Bachok dekat sini juga berada pada paras amaran iaitu 8.69 meter meningkat dari tahap normal sebanyak lapan meter.
Ia berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai melepasi paras amaran dan dua lagi pada peringkat waspada walaupun trend air terus meningkat.
Dalam pada itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai melepasi paras waspada 20.06 meter berbanding paras normal 20 meter, peningkatan sama turut berlaku di Empangan Bukit Kwong di Pasir Mas.
Ia mencatatkan peningkatan tahap waspada sebanyak 17.26 meter yang akan menyebabkan Kelantan akan dilanda banjir sekali lagi setelah gelombang ketiga baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut maklumat dalam portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini sebuah sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Pasir Puteh.
Ia membabitkan seramai 300 mangsa dari 104 keluarga yang terpaksa dipindahkan dan mereka ditempatkan di PPS yang dibuka Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 23/1/2024




















