Kelantan: Pemain industri teknologi digital diseru realisasi visi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua pemain industri teknologi digital disaran supaya bersama-sama merealisasikan visi kerajaan negeri dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan 2030.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, ia dilancarkan sesuai cabaran semasa.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap sebarang usaha memperkasakan teknologi digital dan memberi nilai tambah perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

“Insya-Allah saya mewakili kerajaan negeri akan terus memberi sokongan, kerjasama dan sumbangan untuk meneruskan program bermanfaat pada masa-masa yang akan datang. 

“Saya harap lebih ramai yang tampil dengan program seumpama ini seiring dengan usaha kita membantu usahawan kita dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Telekom Malaysia Digitalpreneurship anjuran Yayasan Telekom Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada 18 Jan lalu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Besar Telekom Malaysia Kelantan, Rozainee Muhamad dan Pengarah Institut Kecil dan Sederhana UMK, Dr Mohd Ikhwan Aziz.

Pelancaran pelan tindakan ekonomi digital yang disempurnakan oleh Menteri Besar minggu lalu juga selaras usaha kerajaan pusat yang menggubal Pengkalan Data Utama (PADU).

Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan.

PADU  dilaksanakan bertujuan bagi membolehkan pelaksanaan dan penyaluran bantuan secara bersasar kepada rakyat untuk mengimbangi kedudukan fiskal negara.

Ia  merupakan sumber data lengkap (tetapi dilindungi identitinya) bagi PMKS memahami pelanggan mereka secara mendalam dan melakukan pemasaran secara lebih menyeluruh.

PADU akan membolehkan pemain PMKS di negara ini dapat menyesuaikan dan menginovasikan hasil keluaran dan perkhidmatan mereka bagi memenuhi keperluan pelanggan.  HARAKAHDAILY  19/1/2024

- Advertisement -