
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyokong tindakan kerajaan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat berpangkalan di Israel, ZIM, dan kapal yang membawa bendera Israel daripada berlabuh di mana-mana Pelabuhan Malaysia.
Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen Malaysia mewakili blok pembangkang, akan berdiri teguh dalam isu kritikal berkait hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Kekejaman berterusan terhadap masyarakat Palestin di Gaza kini berada di titik yang mana kita tidak boleh membuat pilihan untuk berdiam diri.
“Pengabaian Israel terhadap prinsip asas kemanusiaan dan pencabulan terang-terangan ke atas undang-undang antarabangsa melalui pembunuhan beramai-ramai dan penindasan ke atas rakyat Palestin tidak boleh dipandang sebelah mata.
“Sebagai rakyat Malaysia, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab moral bagi berterus terang menentang kezaliman merentasi fahaman politik,” katanya dalam suatu kenyataan, di sini..
Menurutnya, keputusan kerajaan bagi menyekat kapal Israel ini membawa mesej yang jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan bersubahat dengan keengganan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Di saat Malaysia menghulurkan bantuan keperluan asas dan menyalurkan harapan kepada masyarakat Palestin menerusi Ops Ihsan, saya menyeru rakan-rakan Ahli Parlimen untuk kekal istiqamah dalam menjunjung usaha-usaha berkait keadilan dan kemanusiaan buat masyarakat Palestin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu bagi menuntut keadilan dan keamanan di Palestin.
“Dunia meletakkan harapan yang tinggi agar Malaysia menjadi suara harapan buat rakyat Palestin dan kita seharusnya memberikan komitmen penuh bagi usaha ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/12/2023




















