Gertak runtuh akibat banjir siap dibaiki

- Advertisement -

KUALA KRAI: Gertak Pasir Jering Chenulang yang tenggelam ke dasar sungai akibat banjir baru-baru ini sekarang sudah boleh dilalui penduduk.

- Advertisement -

Gerak kerja membaiki gertak itu bermula dengan mengangkat plat besi dan kerangka jambatan yang tercabut akibat arus banjir. Usaha itu diketuai Ketua PAS Cawangan Pasir Jering Mohd Anuar.

Adun Mengkebang Zubir Abu Bakar berkata, kerja-kerja membaiki gertak Pasir Jering dijalankan siang dan malam sehingga siap sekarang.

Katanya, hasil gerakan bersepadu pelbagai pihak memudahkan kerja-kerja membaik pulih gertak akhirnya dapat disiapkan dalam tempoh singkat.

“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi membolehkan penduduk di kampung-kampung berdekatan berulang tanpa perlu lagi menggunakan perahu.

“Gertak itu menjadi laluan utama kira-kira 500 penduduk di kawasan sekitarnya,” kata beliau pada catatan di laman sosialnya.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman baru-baru ini memberitahu kerja-kerja membaiki jambatan tersebut diseliakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

Menurutnya pembaikian jambatan tersebut melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Sebahagian struktur jambatan di kampung berkenaan hanyut akibat banjir yang melanda baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 22/12/2023

- Advertisement -