‘Itu agenda DAP’

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “DAP secara konsisten dilihat melaksanakan agenda mereka dalam kerajaan secara sistematik.”

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata demikian sambil menambah bahawa hal itu terbukti apabila DAP secara tegas menggesa agar pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  dimulakan di Kuala Lumpur atas nama demokrasi.

- Advertisement -

“Kerajaan madani perlu pertimbangkan secara teliti cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai agar diadakan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan keadilan dan keberkesanan dalam pemerintahan tempatan sebelum melaksanakannya,” katanya

Terdahulu, pada 17 Dis lalu, Tan Kok Wai yang merupakan Ahli Parlimen Cheras itu ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahun Negeri DAP Wilayah Persekutuan 2023 telah mencadangkan agar diadakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur yang bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

“Hasrat mereka (DAP) untuk mendapatkan kuasa melalui cadangan pilihan raya PBT pasti tercapai kerana kawasan bandar adalah majoriti keseluruhannya terdiri daripada penduduk berbangsa Cina.

‘Sudah pasti mereka tahu bahawa jika pilihanraya PBT dilaksanakan di Kuala Lumpur mereka akan memenangi pilihanraya tersebut.

“Sudah pasti polisi-polisi dan rancangan yang akan digubal akan meminggirkan orang Melayu dengan melaungkan slogan ‘Malaysian Malaysia’,” jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya Kerajaan Madani bersetuju dengan cadangan Kok Wai, maka bermulalah detik hitam kehilangan kuasa orang-orang Melayu di kawasan bandar dan PBT.

“Ini adalah agenda yang berterusan apabila Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjemput penasihat perumahan Singapura  bagi memberikan nasihat kepada perancangan pembangunan bandar dan perumahan serta PBT di kementerian tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengesa agar Kerajaan Madani tegas menolak dan tidak melayan cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT bagi mengekalkan kuasa pentadbiran status-quo geopolitik yang sedia ada.

“Ini adalah demi kestabilan dan kesejahteraan negara yang harmoni dan terpelihara. 

“Sebarang perubahan kepada struktur pentadbiran yang boleh mengubah sesuatu polisi dan dasar akan mencetuskan implikasi yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.  HARAKAHDAILY 22/12/2023

- Advertisement -