
PRAGUE: Seorang pelajar Czech berusia 24 tahun menembak mati bapanya sebelum membunuh 14 orang dan mencederakan 25 yang lain di Universiti Prague pada Khamis (21 Dis), waktu tempatan.
Polis pusat bandar Prague, Martin Vondrasek berkata, lelaki bersenjata itu juga disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki lain dan anak perempuannya berusia dua bulan yang ditemui ditembak mati pada minggu lalu di dalam hutan di sebuah kampung di luar Prague.
Pihak berkuasa yang menemui senjata api di bangunan pusat bandar Prague Charles University dimaklumkan pada awal hari bahawa lelaki itu berkemungkinan menuju ke Prague dari bandarnya di wilayah Kladno di luar ibu negara dengan niat untuk membunuh dirinya sendiri, lapor Reuters.
Tidak lama selepas itu, bapa penembak ditemui mati.
“Polis telah mengosongkan bangunan Fakulti Sastera universiti berkenaan, lokasi di mana penembak sepatutnya menghadiri kuliah, tetapi kemudian dipanggil ke bangunan utama fakulti yang lebih besar, tiba dalam masa beberapa minit selepas laporan tembakan,” kata Vondrasek.
“Kami mempunyai maklumat baharu yang belum disahkan daripada akaun di rangkaian sosial bahawa dia kononnya diilhamkan oleh satu serangan pengganas di Rusia pada musim luruh tahun ini,” tambahnya kepada pemberita, sambil menambah suspek adalah pemegang sah beberapa senjata api.
Menurutnya, kematian lelaki bersenjata itu berkemungkinan membunuh diri tetapi pihak berkuasa juga sedang menyiasat sama ada dia mungkin maut ditembak oleh polis yang membalas tembakan, sambil menambah suspek merupakan seorang pelajar yang meraih pencapaian baik dalam pengajiannya tanpa rekod jenayah lampau, dan dia bertindak sendirian dan serangan itu.
Buat masa ini, pihak enggan mendedahkan identiti lelaki itu tetapi namanya yang dilaporkan oleh beberapa media Czech sepadan dengan laporan carian polis.
Pihak berkuasa juga telah menutup dataran dan kawasan bersebelahan dengan bangunan fakulti tersebut, di daerah bersejarah yang sibuk menuruni bukit dari Istana Prague di jalan popular menuju ke Dataran Bandar Lama.
Imej media menunjukkan pelajar mengosongkan bangunan dengan tangan mereka ke udara, dan yang lain bertenggek di birai berhampiran bumbung cuba bersembunyi daripada penyerang manakala pelajar juga kelihatan menghalang bilik kuliah dengan meja dan kerusi.
“Kami sentiasa berfikir bahawa ini adalah perkara yang tidak membimbangkan kami. Sekarang ternyata, malangnya, dunia kami juga berubah dan masalah penembak individu juga muncul di sini,” ulas Datuk Bandar Prague, Bohuslav Svoboda kepada stesen penyiaran televisyen Czech.
Perdana Menteri, Petr Fiala pula telah membatalkan lawatan ke timur negara itu dan kerajaan mengadakan mesyuarat tergempar yang dihadiri Presiden, Petr Pavel dan ketua perkhidmatan kontra perisikan negara itu.
Jenayah senjata api agak jarang berlaku di Republik Czech. Pada Disember 2019, seorang lelaki bersenjata berusia 42 tahun membunuh enam orang di bilik menunggu hospital di bandar Ostrava di timur Czech sebelum melarikan diri dan menembak dirinya sendiri, kata polis.
Pada 2015, seorang lelaki maut selepas menembak lapan orang dan kemudian membunuh dirinya di sebuah restoran di Uhersky Brod. – HARAKAHDAILY 22/12/2023




















