Lari dari dunia bankrap

- Advertisement -

Individu masih boleh keluar daripada dunia bankrap secara total tetapi perlu memahami prosedur-prosedurnya.

Penulis buku berjudul, Bankrap Bukan Muflis yang hanya ingin dikenali sebagai Ikaz berkata, terdapat ramai orang yang terbelit dengan hutang sedia ada sehingga menyebabkan diri mereka ‘dijatuhi’ hukuman bankrap

- Advertisement -

Beliau bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkongsi ilmu kebankrapan kepada masyarakat agar dapat membantu golongan bankrap yang ingin keluar daripada status kebankrapan dengan menurut segala peruntukan undang-undang Akta Insolvensi 1967. 

Kata beliau, tiada sesiapa pun yang ingin jatuh ke dalam dunia tersebut lebih-lebih lagi apabila dibankrapkan oleh mana-mana institusi kewangan.

“Namun, masih ada juga yang jatuh bankrap apabila tidak mampu membayar semula hutangnya tetapi saya ingin menyatakan bankrap bukan penamat hidup,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, terdapat juga tokoh-tokoh dunia yang pernah menghadapi masalah tersebut tetapi tetap berjaya bangkit semula daripada perkara tersebut.

“Satu daripada tokoh tersebut ialah Abraham Lincoln yang mana beliau berjaya membebaskan diri daripada apa pun hutang pada 1840 dan menjadi Presiden Amerika Syarikat pada 1861.

“Walaupun ini kajian kes luar negara tetapi jelas menunjukkan bahawa tak mustahil sesiapa yang menghadapi situasi bankrap di negara ini juga boleh buat,

“Jadi di sini, saya nak menunjukkan bahawa bankrap bukan penamat tetapi  pengajaran untuk kita menjadi seorang yang lebih berjaya,” jelasnya.

Apabila ditanya apakah punca yang menyebabkan masalah  tersebut terjadi, beliau menyatakan bukan sahaja ia berpunca daripada orang yang mengambil hutang tetapi juga institusi-institusi kewangan.

Ini kerana menurut beliau, walaupun tidak dinafikan perkara tersebut berpunca daripada disiplin kewangan peminjam itu sendiri tetapi tidak adil dengan hanya menyalahkan mereka semata-mata.

“Ada juga kes yang mana orang ambil hutang perumahan dengan bank dan bank tersebut membayar kepada pemaju tetapi rumah tersebut tidak disiapkan yang menyebabkan pemaju tersebut melarikan diri dan peminjam pula dibankrapkan oleh pihak bank tanpa pengetahuan mereka sendiri.

“Ini merupakan satu perkara yang tidak adil dan menasihatkan orang ramai untuk tidak sesekali pun diperhambakan oleh mana-mana hutang,” katanya. HARAKAHDAILY 22/12/2023

- Advertisement -