
NEW YORK CITY: Pelakon Hollywood tersohor, Alec Baldwin yang marah ‘bertempur’ dengan kumpulan penunjuk perasaan anti-Israel di sini yang menuduhnya menyokong Zionis Israel melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Semenanjung Gaza, selain mengejeknya mengenai insiden kejadian tembakan di set penggambaran filem lakonannya, Rust.
Kejadian di Manhattan pada petang Isnin, waktu tempatan itu menyaksikan Baldwin berteriak kepada salah seorang penunjuk perasaan agar ‘tutup mulut’ sambil mencebik mukanya sebelum pelakon itu dibawa pergi oleh polis.
Baldwin, 56, ketika itu berada di tengah-tengah orang ramai berhampiran West 29th Street, lokasi protes berkenaan, lapor DailyMail.
Dalam video yang disiarkan di media sosial, penunjuk perasaan itu juga menghalakan telefonnya ke muka Baldwin, menuntut untuk mengetahui sama ada pelakon itu menyokong Israel.
“Sebab (apa) saya berada di Hollywood?” Baldwin membalas. “Kau tanya soalan bodoh. Tanya saya soalan yang bijaklah.”

Baldwin dan penunjuk perasaan kemudian terus menjerit antara satu sama lain sebelum polis membawa pelakon itu pergi.
Orang ramai yang berada di situ terus mengekori Baldwin dan ada yang mengejeknya kerana insiden yang menyebabkan kematian di set filem Rust pada 2021.
Tidak jelas mengapa pelakon itu berada di sekitar perarakan yang dianjurkan oleh Within Our Lifetime, sebuah pertubuhan komuniti pimpinan Palestin yang telah aktif di New York City sejak 2015.

Kumpulan itu mengadakan bantahan awam terhadap serangan Israel di Gaza ketika, di hab transit utama sepanjang hari termasuk Stesen Penn dan Stesen Grand Central.
Ketika Baldwin dikawal oleh polis, satu suara dalam orang ramai mula menjerit ke arah pelakon itu: “Kau fikir kau siapa?”’
“Diamlah!” Baldwin kemudian mengherdik ketika dibawa pergi oleh polis.

“Hentikan jeritan! Hentikan jeritan!” jerit Baldwin ketika penunjuk perasaan berterusan menghampirinya, sebelum menuding jari ke arah orang ramai dan berkata: “Saya juga mahukan keamanan untuk Gaza.”
Ketika pegawai polis membawanya pergi, seorang penunjuk perasaan menjerit: “Kau telah membunuh seseorang, bukan? Kau pembunuh! merujuk kepada kejadian di set penggambaran filem Rust. – HARAKAHDAILY 19/12/2023




















