Kerajaan baiki jambatan dihanyut banjir

- Advertisement -

KUALA KRAI: Kerajaan negeri mengambil langkah segera membaiki jambatan
di Kampung Pasir Jering Chenulang dekat sini yang rosak teruk akibat banjir.

- Advertisement -

Kerja-kerja membaiki jambatan tersebut dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri.

Pembaikian jambatan tersebut melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, langkah segera perlu diambil bagi memudahkan urusan harian kira-kira 500 penduduk di kawasan terlibat.

Katanya sebahagian struktur jambatan di kampung berkenaan hanyut akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

“Jika tiada hujan insya-Allah proses pembinaan dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, bantuan dalam bentuk makanan mentah akan dihantar secara berkala dan diselaraskan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sehingga pembinaan jambatan selesai.

Menurutnya juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) menempatkan bot dan anggota mereka bagi membantu penduduk menyeberangi sungai.

“Pejabat Ahli Parlimen juga menyediakan kenderaan bagi menghantar tiga keluarga yang terkandas di tempat kerja,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -