
KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Nombor Dua 2023 yang dicadangkan bagi menguatkuasa langkah percukaian yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lalu.
Senator Abdul Nasir Idris ketika membahas RUU tersebut, beliau telah menyentuh antaranya mengenai pelaksanaan sistem e-invois yang dilihat sejajar dengan agenda pendigitalan oleh kerajaan, selain memperkemas dan mempertingkatkan sistem percukaian negara.
Beliau berkata, sistem yang menggalakkan ketelusan dan menjadikan penilaian risiko pematuhan lebih tepat itu bakal dilaksanakan separuh pertama tahun hadapan, selain dijangka mampu mengatasi masalah ketirisan pendapatan negara akibat ekonomi bayangan.
“Di sini menjadi persoalan berapa banyak ketirisan yang dihadapi kerajaan akibat daripada sistem ekonomi bayangan ini dan apakah dengan pelaksanaan sistem ini dapat meningkatkan pendapatan negara apabila isu ekonomi bayangan ini berjaya diatasi.
“Kedua sistem e-invois ini syarikat manakah yang mendapat manfaat melaksanakan agenda pendigitalan terutama dalam melaksanakan sistem e-invois, adakah ia dilakukan secara tender terbuka atau tertutup,” katanya di Dewan Negara, di sini, hari ini.
RUU Kewangan Nombor Dua 2023 bertujuan meminda Akta Cukai Pendapatan 1997, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1967, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1970 dan akta-akta berkaitan.
Abdul Nasir pada sesi perbahasan RUU itu turut membangkitkan tindakan kerajaan melalui pihak berkuasa, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap syarikat yang didapati gagal mengeluarkan e-invois, dilihat tidak setimpal dengan keuntungan diraih oleh pihak berkenaan.
Beliau berkata, walaupun sistem invois secara elektronik diakui mampu mengatasi ketirisan pendapatan negara, namun kecanggihan teknologi dan teknologi maklumat ketika ini turut terdedah kepada aktiviti penggodaman bagi mengelakkan pengeluaran invois syarikat.
“Seterusnya berkaitan dengan kesalahan-kesalahan bagi kegagalan mana-mana syarikat dan individu mengeluarkan e-invois adalah denda tidak kurang RM200 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Bagaimanakah penguatkuasaan atau mekanisme yang dilakukan kerajaan bagi pihak yang gagal mengeluarkan e-invois, tidakkah ia akan menyebabkan kesalahan baharu seperti cubaan merasuah bagi mengelakkan pengeluaran e-invois ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023




















