
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa membuat penyelesaian secara tuntas terhadap masa depan mahasiswa dari Palestin yang sedang mengikuti pengajian di Malaysia.
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, seramai 2,500 mahasiswa dari Palestin sedang mengikuti pengajian diperingkat matrikulasi (asas), Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/ IPTS) di Malaysia.
Menurutnya, mahasiswa Palestin telah memasuki Malaysia sebelum serangan genosid terburuk yang berlaku di Palestin sejak 7 Oktober 2023 lalu.
Dalam satu kenyataan, beliau turut memberitahu pada masa ini krisis serangan Zionis Israel terhadap Palestin sedang memuncak, menyebabkan situasi di negara itu telah berubah dan memerlukan pendekatan khas bagi mahasiswanya, khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran di luar dari negara mereka.
Sehubungan itu, Mumtaz turut mempersoalkan kepada KPT bahawa adakah pelajar-pelajar Palestin yang lulus di peringkat matrikulasi akan dibenarkan masuk dengan kelulusan khas untuk meneruskan pengajian di IPTA dan IPTS di dalam negara tanpa perlu kembali ke negara asal mereka sebagaimana sebelum ini?
Katanya lagi, KPT perlu memastikan mereka yang lulus dari IPTA tempatan ini dibenarkan untuk bekerja ‘right to work’ kerana mereka tidak boleh kembali ke Palestin sebagai ikhtiar hidup mereka dan keluarga.
Selain itu, beliau turut menyatakan adakah kementerian mempunyai data mengikut gender dan kluster pengajian pelarian Palestin di sini?
“Berapakah persatuan yang menjaga kebajikan mahasiswa ini? Apakah terdapat badan yang memantau kos pengajian kepada pelarian Palestin dan pelajar antarabangsa ini?” soalnya.
Mumtaz mempersoalkan lagi adakah terdapat negara atau pihak antarabangsa seperti OIC atau donor yang menaja pelarian mahasiswa Palestin di Malaysia?
“Adakah kemudahan khas yang disediakan oleh KPT untuk mengurangkan beban dan kos pengajian mereka?
“Adakah KPTM mempunyai bajet bagi mahasiswa luarnegara yang berkeperluan khas dibantu dalam pendidikan.
“Apakah kementerian mempunyai garis panduan dari segi silibus dan bahasa terhadap mahasiwa luar negara?” tambahnya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan adakah KPT mempunyai Pelan Tindakan Strategik atau MOU dengan beberapa agensi seperti My Talent Corp dan sebagainya untuk memanfaatkan kepelbagaian kemahiran, kepakaran dan kepintaran mahasiswa Palestin sebelum mereka kembali ke negara mereka?
“Apakah KPT akan memperkenalkan skim dan laluan khas kepada mahasiswa Palestin?” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mumtaz turut memberitahu terdapat beberapa jenis passport pelarian Palestin bergantung kepada negara yang mereka singgah.
“Persoalan di sini, adakah mereka ini termasuk dan layak mendapat visa khas sebagai mahasiswa Palestin?” soal Mumtaz.
Justeru, beliau mengharapkan KPT dapat memberikan inisiatif yang proaktif sesuai dengan keadaan pada masa kini yang mendesak melalui keilmuan dan pendidikan tinggi ini akan menjadi peneraju inisiatif dan model untuk membantu pelarian Palestin.
“Mereka yang berpotensi tinggi akan memberikan impak mendalam secara menang-menang (win-win) kepada hubungan Malaysia – Palestin dan menjadi solusi jangka panjang kepada isu kemanusiaan dan ketamadunan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2023




















