Gencatan senjata: HAMAS setujui walau Israel sering khianati

- Advertisement -

LAJNAH Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan HAMAS yang berjaya merundingkan gencatan senjata dengan rejim Zionis Israel selama empat hari. 

Tindakan tersebut sekali gus menyediakan ruang kepada misi bantuan kemanusiaan supaya dapat disalurkan dengan segera ke wilayah yang terjejas teruk. 

Tambahan lagi kesiapsiagaan pejuang HAMAS meskipun dalam tempoh gencatan senjata ini amat wajar kerana rejim Zionis seringkali mengkhianati perjanjian damai yang ditemeterai. Tahap waspada sangat penting dalam keadaan yang masih meruncing ketika ini. 

Lajnah Antarabangsa DPPM turut menegaskan bahawa perjuangan menuntut pembebasan Palestin daripada rejim Zionis tidak sesekali berakhir selagi mana rejim Zionis masih bertapak dengan rakusnya di bumi Palestin. 

Segala tindakan diplomasi, rundingan untuk mendapatkan sokongan daripada negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) termasuklah menghadapkan pemimpin utama negara haram Israel ke muka pengadilan tidak harus berhenti. 

Rantaian perjuangan ini akan berterusan sehingga Allah S.W.T mengurniakan kemenangan kepada pejuang Islam. Semoga ada sinar untuk Palestin suatu masa kelak. Itulah janji daripada-Nya dan kami tekal bersama HAMAS dalam meniti perjuangan ini sehingga ke akhirnya, insya-Allah.  

Generasi Sejahtera, Mengisi Kemenangan”
“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

YB USTAZ HAFEZ SABRI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
ADUN Manjoi – HARAKAHDAILY 24/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -