
SAN FRANCISCO: Sekumpulan wartawan asing telah dirompak oleh tiga lelaki bersenjata ketika bertugas di San Francisco, memberi tamparan hebat kepada usaha bandar raya itu untuk merombak reputasinya yang sebelum ini dicemari kejadian jenayah yang semakin serius.
Wartawan televisyen Republik Czech, Bohumil Vostal dan rakan setugasnya, Milan Nosek sedang membuat liputan di kedai buku City Lights yang ikonik di bandar raya itu apabila dia dan pasukan medianya dirompak oleh tiga penyerang bersenjata dan bertopeng.
“Mereka menuju ke arah jurukamera saya, mengacukan pistol ke perutnya, dan satu ke kepala saya” kata Vostal kepada media pada Isnin (13 Nov), lapor The San Francisco Standard.
“Kesemua perompak itu kemudian melarikan diri dalam gelap, mengambil peralatan kami bernilai AS$18,000,” tambahnya.
San Francisco sejak kebelakangan ini menarik liputan berita negatif disebabkan kes-kes perompakan kedai yang tidak terkawal, pasaran dadah dan peningkatan kadar jenayah.
Namun kini, bandar raya itu telah mendapat perhatian antarabangsa susulan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung, acara menarik beberapa pemimpin paling berkuasa di dunia ke pusat bandar dan Nob Hill.
Anwar Ibrahim tiba di San Francisco
Seramai 21 APEC tiba di San Francisco bagi menghadiri mesyuarat kali ke-30 forum antara kerajaan itu yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Nov ini, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada ham 9.37 malam (Waktu Standard Pasifik), semalam di San Francisco bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pertamanya.
APEC adalah forum antara kerajaan membabitkan 21 ekonomi yang mempromosikan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik; dan sebagai Pengerusi APEC bagi 2023, Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah AELM untuk kali ketiga.
Kali ini San Fransciso dipilih sebagai lokasi mesyuarat, selepas Pulau Blake pada 1993 dan Honolulu (2011).
Pada hari-hari menjelang sidang kemuncak itu, pegawai kerajaan di bandar raya yang merupakan pusat komersial, kewangan dan kebudayaan California Utara. berusaha untuk membersihkan jalan-jalan dan membanteras jenayah.
Namun, kejadian rompakan itu pasti akan mengalihkan perhatian kepada ancaman jenayah yang meluas di bandar California itu.
Walaupun polis tiba dalam masa beberapa minit selepas mangsa mendail 911, tiada apa yang boleh dilakukan selain simpati.
Datuk bandar ganti kerugian
Namun, keprihatinan yang mereka dapat daripada penduduk tempatan, bagaimanapun, amat menggalakkan.
“Semua penduduk San Francisco hampir menyalahkan diri mereka sendiri, seperti mereka sangat menyesal atas sesuatu yang tidak mereka lakukan,” kata Vostal.
Polis San Francisco sehubungan itu berkata mereka sedang menyiasat kes tersebut dan menawarkan bantuan kepada kumpulan wartawan Czech berkenaan.
Dalam pada pejabat Datuk Bandar San Francisco, London Breed mengeluarkan kenyataan akan menggantikan peralatan kumpulan wartawan Czech yang dirompak itu.
Jurucakapnya, Jeff Cretan berkata demikian sambil menambah bahawa penguatkuasaan undang-undang secara agresif membanteras rompakan dan jenayah lain di San Francisco sedang giat dijalankan. – HARAKAHDAILY 14/11/2023




















