
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira kemampuan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan daya inovasi anak tempatan serta mengurangkan kebergantungan pekerja asing berbanding mendedahkan nilai pelaburan negara.
Selain itu, pengagihan lokasi pelaburan yang seimbang antara negeri membangun dan negeri kurang membangun yang menjadi pemangkin utama kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP2023), kata Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).
Beliau turut mempersoalkan langkah yang digariskan dalam NIMP2030 bagi meningkatkan sektor elektrikal dan elektronik (ENE) serta sumbangan aktiviti pembuatan hiliran bernilai tinggi seperti petroleum, kimia dan sumber nadir bumi (REE).
“Saya berhasrat menyentuh tajuk besar di bawah butiran 060000 NIMP2030, pada hemat saya kejayaan pembangunan industri ini bukan diukur dengan angka pelaburan yang tinggi, namun dilihat kepada elemen antaranya peluang pekerjaan berkualiti.
“Apakah langkah dalam NIMP2030 ini untuk mengembalikan kegemilangan sektor ENE, pada masa sama meningkatkan sumbangan bidang bukan ENE, khususnya aktiviti hiliran bernilai tambah tinggi seperti produk petroleum kimia dan sumber mineral,” katanya.
Berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mohd Syahir berkata, antara komponen paling penting dalam NIMP2030 ialah memupuk pembangunan bakat serta menarik minat belia dan mahasiswa.
Beliau berkata, agenda terbabit dilaksanakan bagi memastikan matlamat NIMP2030 dapat dicapai dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, yang dijangka bakal mewujudkan jurang permintaan dan penawaran dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurutnya, kerajaan melalui MITI perlu memberikan fokus dan langkah penyelesaian untuk pastikan jurang industri masa depan dan penawaran kemahiran golongan itu dapat ditangani dengan sebaik mungkin sekaligus tidak merugikan negara.
“Dalam butiran sama antara kompenan terpenting NIMP2030 ini adalah untuk memupuk pembangunan bakat dan menarik minat khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memastikan matlamat NIMP 2030 dapat dicapai iaitu untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi.
“Pastinya di sini ada jurang permintaan dan penawaran dalam jangka masa panjang, justeru mohon MITI berikan perhatian, apakah yang telah dan akan diambil untuk pastikan jurang permintaan ini ditangani dan meningkatkan keupayaan mahasiswa dan belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023











