
WASHINGTON, D.C.: Kumpulan advokasi Muslim yang berpangkalan di AS, Council on American-Islamic Relations (CAIR) mengkritik sekeras-kerasnya Rumah Putih berhubung pendirian ‘tiada garis merah’ mengenai Israel di tengah-tengah korban orang awam kini mencecah 10,569 di Gaza akibat serangan udara Israel.
“CAIR mengutuk sekeras-kerasnya wakil Rumah Putih, John Kirby kerana sekali lagi mengisytiharkan tiada ‘garis merah’ atau bilangan orang awam yang boleh dibunuh oleh kerajaan Israel yang akan menyebabkan AS berhenti menyokong (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu melakukan serangan genosida ke atas orang awam di Gaza,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Kenyataannya merujuk kepada komen baru-baru ini oleh Kirby yang merupakan jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, yang apabila ditanya media “masih adakah pentadbiran tidak mempunyai garis merah sama sekali” berhubung operasi Israel di Gaza, mengesahkan: “itu masih berlaku.”
Pengarah Hal Ehwal Pertubuhan CAIR, Robert McCaw berkata, setiap pengisytiharan sedemikian tanpa ‘garisan merah’ justeru akan memberi semangat kepada kerajaan Israel untuk meningkatkan lagi tindakan ketenteraan mereka terhadap sasaran awam seperti kem pelarian, bangunan pangsapuri, kedai roti, ambulans dan tempat ibadat.

“Kami menyeru Laksamana Kirby yang (kononnya) hampir menitiskan air mata apabila bercakap tentang orang awam Ukraine-untuk mengiktiraf bahawa rakyat Palestin adalah juga manusia, dan kami menyeru Rumah Putih untuk menamatkan keterlibatan negara kami (AS) dalam percubaa berterusan Benjamin Netanyahu dalam pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza,” tegas McCaw.
Beliau menegaskan bahawa Israel ‘sedang melakukan jenayah perang’ menggunakan wang pembayar cukai rakyat Amerika dan sokongan kerajaan AS.
Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza sejak kumpulan penentang Palestin Hamas memulakan serangan rentas sempadan pada 7 Okt.
Daripada 10,569 penduduk Gaza yang terkorban, ia termasuklah 4,324 kanak-kanak dan 2,823 wanita; sementara Israel mendakwa di pihaknya, angka yang terbunuh hampir 1,600. – HARAKAHDAILY 9/11/2023




















