
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendapati Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah.
“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan,” kata Hakim Azhar.
Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.
Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Dipenjara tujuh tahun, denda RM10 juta, dua sebatan
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, dua tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan salah guna harta manakala bagi dua kesalahan pengubahan wang haram masing-masing dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta.
Jika gagal membayar denda, Syed Saddiq, 30, boleh dipenjara empat tahun.
Hakim Azhar memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan kesalahan salah guna harta berjalan berasingan manakala hukuman pertuduhan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Beliau memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini namun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan itu difailkan di Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” kata hakim.
Sebelum ini, bekas Ketua Armada itu dibenarkan diikat jamin RM330,000 bagi kesemua pertuduhan serta diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran, sebulan sekali.
Semasa mensabitkan Syed Saddiq atas semua pertuduhan itu, Hakim Azhar berkata mahkamah telah memberikan pertimbangan pada tahap maksimum terhadap keseluruhan keterangan, sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang setelah mendengar keterangan 29 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri yang memberi keterangan bersumpah dan empat saksi pembelaan.
Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, mewakili Syed Saddiq memohon agar mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
“Pihak kami memohon supaya mahkamah mengekalkan syarat jaminan sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali membantah permohonan itu atas alasan tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan.
Terdahulu, dalam rayuan bagi hukuman ringan, seorang lagi peguam Syed Saddiq, Haijan Omar, berkata anak guamnya akur dengan keputusan mahkamah yang mendapatinya bersalah dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum.
“Anak guam saya belum berkahwin merupakan anak bongsu dari empat beradik dan perlu juga menjaga ibu dan bapanya, masing-masing berusia 62 dan 66 tahun yang juga pesara kerajaan.
“Ibu bapa tertuduh turut hadir ke mahkamah hari ini. Bapanya baru sahaja menjalani pembedahan katarak manakala ibunya menghidap kanser payudara,” katanya.
Peguam itu berkata mahkamah juga perlu mempertimbangkan jasa anak guamnya yang sebelum ini merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan pada 2018 hingga 2020.
“Ketika beliau dilantik menjadi menteri, beliau dikenali di persada antarabangsa sebagai seorang menteri yang paling muda di Asia. Semasa berkhidmat, beliau diberi tugas untuk mengetuai pindaan Perlembagaan bersejarah di negara iaitu Undi18, yang membuka jalan kepada lebih tiga juta pemuda dan pemudi untuk mengundi bermula dari Pilihan Raya Umum ke-15.
“Antara sumbangan penting beliau ialah menaikkan elaun ‘internship’ (latihan amali) dari RM300 ke RM900 selain melonjak nama Malaysia dalam bidang e-sport. Sebagai Ahli Parlimen Muar, beliau juga telah melancarkan beberapa usaha untuk mendapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepada beribu-ribu pelajar tidak berkemampuan di kawasan Parlimennya.
“Tertuduh juga tidak mempunyai rekod lampau dan saya dengan rendah diri mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara atau denda sahaja,” kata peguam itu.
Gobind pula memohon mahkamah mempertimbangkan pembelaan tertuduh dan keterangan saksi pembelaan yang menunjukkan wang dalam kes anak guamnya itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik COVID-19 dan juga kebajikan lain.
“Keterangan saksi pembelaan menunjukkan tertuduh tidak menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan secara berasingan.
“Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah, pendakwaan mencadangkan denda RM2 juta dengan tiga hingga lima sebatan, salah guna harta denda maksimum RM500,00 dengan lima sebatan manakala dua kesalahan pengubahan wang haram, masing-masing didenda RM2 juta,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam kerana banyak kes membabitkan ahli politik yang dituduh di mahkamah dan masyarakat mahu hukuman berbentuk pencegahan dijatuhkan kepada pesalah.
“Tidak kira seseorang itu berumur 30 atau 50 tahun, namun jika diberi amanah jangan khianatinya. Oleh itu, mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pencegahan agar ahli Parlimen lain yang ingin melakukan kesalahan sebegini akan berfikir dua tiga kali.
“Tertuduh juga tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan wang yang ada dalam akaun (Armada),” katanya.
Pasukan pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Mohd Shahrom Idris manakala peguam Datuk S.Ambiga dan Lim Wei Jiet juga mewakili Syed Saddiq. – BERNAMA











