
KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara.
Katanya, ini terutama kandungan media sosial yang menegur kerajaan kerana ia nyata bercanggah dengan prinsip demokrasi dan janji manifesto Pakatan Harapan pada PRU 15.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi Fadzil ketika menjawab memberitahu bahawa kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya kebebasan bersuara tidak membawa maksud seseorang individu boleh membuat tohmahan, fitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahu pun memperlekehkan agama atau berbaur perkauman.
Katanya, SKMM menjalankan tanggungjawab dan fungsi-fungsinya berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Salah satu tanggungjawab perundangan utama SKMM adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia.
“SKMM mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, jawapan terhadap soalan asalnya didengar dengan teliti begitu cantik di atas kertas dan juga polisinya, tetapi apabila tiba kepada pelaksanaan, ternyata ia tidak begitu
“Menteri…apabila kita melihat terdapat gangguan, terutama dari SKMM terhadap kandungan yang tidaklah dilihat menyentuh 3R (institusi raja, agama dan perkauman).
“Contohnya saya boleh sebutkan beberapa posting (hantaran), saya berikan secara bertulis kepada menteri, bagaimana beberapa posting, contohnya apabila mengaitkan PKR dengan Liberal International, posting itu disekat dan penggunanya mendapati ia merupakan legal request (tuntutan undang-undang) dari SKMM.
Beliau berkata pada Ogos lalu, lapan wartawan veteran menegur SKMM jsupaya tidak berlagak seperti `abang besar’ , manakala pada Oktober lalu, bekas pengarang kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menyatakan sekarang merupakan zaman gelap media.
“Jadi saya faham hasrat menteri bagus, tetapi penyampaian kepada SKMM dan ke bawah itu, saya bimbang tidak sampai hasrat murni itu.
Menjawab soalan tambahan, Fahmi berkata, SKMM menerima aduan dari pelbagai pihak mengenai sebarang perkara dalam media sosial dan tidak hanya terhad kepada isu 3R, tetapi sebarang kandungan yang dianggap, ditafsirkan jelek dan berpandukan Seksyen 233 Akta 588.
“Mungkin yang dimaksudkan oleh YB (Yang Berhormat Pasir Mas) mungkin SKMM ada menerima aduan daripada orang awam tentang apa-apa perkara.
“Suka saya maklumkan sebenarnya sesiapa yang ada menerima kesan dengan cara ini boleh memohon kepada SKMM dan platform media tersebut. Jika platform media itu dan SKMM meneliti semula dan selepas itu diputuskan dikembalikan (berita atau hantaran), tidak menjadi masalah. Boleh dibuat rayuan.
“Kadang-kala media sosial juga mempunyai garis panduan dan piawaian kawal selia sendiri dan kadang-kadang kandungan yang tak disangka-sangka diturunkan. – HARAKAHDAILY 9/11/2023




















