
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini digesa agar bersama-sama mempertahankan undang-undang syariah daripada terus dirobek oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya, berkata demikian disebabkan mutakhir ini memperlihatkan ada usaha untuk meruntuhkan undang-undang syariah melalui jalan undang-undang.
“Satu demi satu kes yang dibentangkan di mahkamah termasuklah kes Nik Elin mengundang kepada implikasi yang besar terhadap keabsahan peruntukan enakmen jenayah syariah.
“Kes Nik Elin melibatkan cabaran 20 peruntukan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2019 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
“Gambaran implikasi terhadap kes Nik Elin tersebut boleh menyebabkan undang-undang syariah tidak lagi absah sekaligus dalam masa yang sama mencabar kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal enakmen jenayah syariah negeri,” jelas beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahmad Yahaya turut memberitahu bahawa beliau menyokong Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mengenai pasca Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) untuk menubuhkan suatu jawatankuasa khas yang terdiri daripada golongan pakar mahupun pengamal undang-undang bagi menangani isu ini dengan lebih tuntas.
Tambah beliau, kerajaan perlu bersikap proaktif menggerakkan jawatankuasa khas tersebut bagi meneroka ruang dan peluang mengharmonikan konflik bidang kuasa perundangan sivil dan syariah selain memperkukuhkan perundangan syariah daripada dicabar keabsahannya.
“Ironinya sehingga kini masih tiada tindakan segera diambil oleh kerajaan,” tegas beliau.
Beliau turut mengharapkan keseriusan kerajaan dengan pembentukan jawatankuasa khas berkenaan kerana ianya merupakan tindakan yang substantif ke arah menyediakan jalan penyelesaian yang diharapkan.
“Justeru, seluruh umat Islam di negara ini diseru untuk bersolidariti bagi mempertahankan kepentingan undang-undang syariah serta memobilisasi kempen kesedaran umat Islam mengenai ancaman yang dihadapi oleh undang-undang syariah ketika ini,” katanya.
Beliau turut memberikan petikan pesanan Abu Umamah Al-Bahili RA, daripada Baginda Nabi Muhammad SAW yang bersabda: “Demi sesungguhnya akan berlaku, dirungkai ikatan ajaran Islam satu demi satu. Maka apabila setiap satunya dirombak menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya. Simpulan pertama yang dirungkai adalah perlaksanaan hukum Islam dan simpulan terakhir yang dirungkai adalah solat.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban). – HARAKAHDAILY 9/11/2023




















