
KUALA LUMPUR: Tindakan DAP yang mendakwa guru-guru dan pihak sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan dalam kalangan pelajar adalah sesuatu yang tidak wajar dan munasabah dilakukan ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (PENDIDIK), Normala Sudirman meluahkan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan pimpinan DAP itu yang turut mengeluarkan kenyataan menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap penganjur di sekolah; dan menghalang program seumpama ini daripada berulang dilakukan.
KPM baru-baru ini dilaporkan telah melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Okt hingga 3 Nov bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan dalam kalangan para pelajar.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mendakwa telah mengecam guru dan murid di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berhubung isu pemakaian sempena Minggu Solidariti Palestin di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pemimpin DAP bertaraf menteri ini telah mengecam dan mengugut pihak berkaitan yang didakwanya menyalahguna kuasa untuk diambil tindakan disebabkan kerana murid-murid dan guru ini memakai kostum ‘perang’ dengan laungan kalimah yang membangkitkan semangat melawan musuh kejam seperti Zionis Israel.
Normala turut memberitahu, adalah sesuatu yang amat memalukan jika aksi pelajar memegang senjata mainan dan melakonkan watak pejuang Islam Palestin dalam lakonan watak ketika pantomen dijadikan isu dan dianggap begitu menakutkan.
“Sedangkan itu adalah didikan bagi memberi gambaran bahawa senjata itu telah disalahguna untuk membunuh insan yang tidak berdosa, orang tua dan kanak-kanak serta rakyat Palestin.
“Kita sedia maklum bahawa agenda yang dipersembahkan itu merupakan salah satu pengisian sempena Minggu Solidariti Palestin Di Sekolah.
“Ia bertujuan untuk menyemai kesedaran dan mendidik para pelajar agar tahu dan faham erti keganasan, kekejaman dan penindasan Israel yang dilakukan ke atas bumi Palestin yang telah lebih 75 tahun lamanya,” tegasnya.
Tambah beliau, cukup naif lagi apabila Setiausaha Agung DAP, Antyhony Loke Siew Fook, pula menyuarakan tindakan seperti itu dianggap sebagai ‘ telah mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di semua sekolah dan dianggap memberi pengajaran yang salah terhadap generasi muda’.
Anthony turut menyatakan: “Kita terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan dan sentiasa mendokong pendirian Kerajaan Malaysia untuk bersuara lantang di pentas dunia untuk perjuangan membebaskan Palestin dan mengembalikan hak dan wilayah mereka yang sepatutnya.”
Sehubungan itu, Normala turut memberitahu bahawa tindakan dan kenyataan pimpinan DAP ini telah membuktikan sikap mereka yang gagal memahami solidariti rakyat Malaysia terhadap apa yang telah berlaku di bumi Palestin, yang mana rakyat di negara itu telah dizalimi oleh Zionis Israel.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli-ahli DAP ini telah menyerlahkan rupa sebenar dan mereka dikatakan bersikap retorik semata-mata apabila kononnya menyatakan sokongan solidariti dengan rakyat Palestin atas prinsip kemanusiaan. – HARAKAHDAILY 2/11/2023




















