Siapa kendali projek baiki dan bina rumah penduduk miskin?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) meminta penjelasan kerajaan, sama ada Kampung Baru Cina tidak dimasukkan dalam program membaiki dan pembinaan rumah baharu penduduk miskin.

Katanya, ini berikutan projek berkenaan di Kampung Baru Cina lebih sedikit, berbanding di penempatan lain, malah untuk kaum India lebih sedikit.

- Advertisement -

“Jadi saya minta penjelasan, siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan projek membaik pulih dan membina rumah baharu penduduk miskin.

“Adakah PRIMA (Program Perumahan Rakyat 1Malaysia), SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad)…ini saya sebut saja kerana (projek membaiki dan membina rumah baharu) ini di bawah kementerian atau pejabat daerah?” katanya ketika Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut soalan asal, Dr Ismail meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah peruntukan membaiki dan pembinaan rumah baru bagi penduduk miskin bandar serta pecahan mengikut kaum.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Nasir, berkata projek berkenaan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, kerajaan tidak mengagihkan peruntukan mengikut kaum atau kumpulan masyarakat semata-mata, tetapi mengikut lokaliti.

Dari segi kumpulan masyarakat, katanya memang ada peruntukan untuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan Kampung Baru Cina bagi mengelakkan keciciran dalam mana-mana kumpulan masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -