Isu PTPTN: Peminjam bakal ‘diancam’ kartel pendidikan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Desas-desus kemungkinan berlaku pemansuhan diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti yang telah diumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini, dikhuatiri bakal membawa risiko kepada kemunculan kartel-kartel pendidikan menyebabkan peminjam PTPTN diancam beban hutang.

Pengarah Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) Melaka, Aziah Mohd Sa’ad berkata demikian sambil menggesa Kerajaan Madani agar bertindak segera mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang bakal dihadapi semua mahasiswa yang telah membuat pinjaman PTPTN, jika perkara itu benar-benar dilaksanakan kelak.

- Advertisement -

“PTPTN merupakan sebuah agensi di bawah KPT yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di institusi pengajian awam dan swasta.

“KPT berperanan penting dalam mewujudkan ekosistem pengajian tinggi yang terbaik di Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), politeknik dan juga kolej komuniti,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, KPT turut memberi peluang kepada para pelajar untuk menyambung lagi pengajian ke menara gading yang tersergam indah dan agensi ini dikatakan tidak mementingkan keuntungan sehingga memberi peluang kepada pelajar yang berjaya untuk meneruskan pengajian ke luar negara.

Bancian yang dibuat sejak 1999 hingga November 2022, didapati seramai 960,882 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.42 bilion.

Aziah Mohd Sa’ad

“Menerusi insentif itu, seramai 90,485 peminjam menerima pengecualian bayaran balik pinjaman setakat 30 November 2022, yang membabitkan pelupusan pinjaman sebanyak RM2.32 bilion.

“Hal ini bermakna pendidikan percuma kepada pelajar cemerlang masih wujud supaya mereka berdaya saing untuk mendapatkan kemudahan tersebut,” jelasnya.

Aziah yang juga merupakan Pengarah Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Melaka turut memberitahu dalam Islam amat mementingkan soal pendidikan dan penguasaan ilmu pengetahuan yang sempurna. 

“Ini kerana pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan sosial negara. 

“Pengabaian dalam soal pendidikan bererti mengabaikan kebajikan masyarakat dan menjejaskan pembangunan sesebuah negara,” kongsi beliau.

Namun begitu, katanya lagi, desas-desus pengumuman yang dilakukan oleh Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang mengatakan pemberian diskaun pinjaman PTPTN berkemungkinan tidak akan diteruskan seharusnya dikaji semula. 

Peminjam atau mahasiswa yang masih belajar dan graduan yang telah bekerja akan mengalami bebanan hutang pinjaman jika diskaun PTPTN dimansuhkan. (FOTO HIASAN)

“Inisiatif pemberian diskaun bayaran balik itu adalah mekanisme efektif bagi membantu kestabilan kewangan belia yang baru sahaja melangkah ke alam pekerjaan dan membina kehidupan dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelayakan, gaji permulaan graduan yang rendah dan sebagainya

“Kita tidak mahu bank komersial yang sentiasa memfokuskan keuntungan mengambil peluang menjadi alternatif kepada pelajar-pelajar untuk meminjam, walaupun sepatutnya pinjaman bayar balik tidak berunsurkan riba.

“Kartel-kartel pendidikan pula ingin mengambil peluang menjadi ceti berlesen berpeluang mengaut keuntungan dalam pendidikan di mana pinjaman bank swasta mengenakan bayaran balik sehingga 8 peratus berbanding PTPTN yang mengenakan caj sebanyak 3  peratus,” ujar beliau.

Tambah Aziah, peminjam atau mahasiswa yang masih belajar dan graduan yang telah bekerja akan mengalami bebanan hutang pinjaman, selepas insentif diskaun bayaran balik pinjaman hingga 20 peratus yang ditawarkan oleh agensi itu yang tamat pada 31 Mei 2023 tidaka akan diteruskan.

Mahasiswa dan graduan sangat memerlukan insentif diskaun PTPTN dalam meneruskan kelangsungan perjalananan masa depan mereka. (FOTO HIASAN)

“Ini menimbulkan keresahan dalam kalangan mahasiswa yang sedang belajar dan yang telah bekerja ketika keadaan ekonomi negara yang merundum. 

“Selain itu, berkemungkinan besar anak-anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran akan terbantut untuk meneruskan pelajaran mereka.

“Kebanyakan anak-anak muda tidak berminat untuk menyambung pengajian mereka disebabkan keperluan kehidupan yang semakin menghimpit kehidupan mereka,” jelasnya lagi.

Secara tidak langsung, ujar Aziah, kerajaan Malaysia akan kehilangan generasi berilmu yang akan mentadbir negara pada masa hadapan.  

“Oleh itu, Kerajaan Madani pada masa sekarang perlu bertindak dengan cepat dan pantas mencari jalan penyelesaian yang tuntas demi penyambungan masa depan generasi pewaris agar tidak berlaku ketandusan tenaga pelapis negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -