Keselamatan Kapar cabaran besar kepada PDRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kapar adalah antara kawasan pesisiran pantai di Selangor yang memberikan cabaran besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini menyebabkan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) meminta kerajaan menyatakan kekuatan PDRM di Kapar bagi menjaga keselamatan kawasan pesisiran pantai seiring dengan cabaran membanteras jenayah rentas sempadan.

- Advertisement -

“Berapakah jumlah anggota yang berpengalaman untuk mengendali keselamatan pesisiran pantai seperti di Pulau Ketam yang terdedah kepada kehadiran bot antarabangsa.

“Adakah kementerian telah meneliti dan menyediakan keperluan kritikal Pasukan Polis Marin (PPM), termasuk memastikan aset yang mencukupi seperti bot bersaiz besar yang berupaya membanteras jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementeriannya sentiasa meningkatkan keupayaan anggota PDRM, termasuk mendapatkan kerjasama pelbagai agensi lain bagi mengawal perairan negara terutama di Pelabuhan Klang yang sibuk.

“Kekuatan pasukan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara adalah seramai 622 orang terdiri, iaitu 55 pegawai dan 567 anggota yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP).

“Pasukan polis turut mempunyai kekuatan 120 anggota di Markas Operasi Polis Marin, iaitu sembilan pegawai dan 111 anggota.

“PPM Wilayah Satu Pelabuhan Klang yang diketuai oleh seorang pegawai pemerintah berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan kekuatan 10 bot peronda untuk mengawal kawasan perairan negara di sektor rondaan Sungai Besar hingga ke Sepang termasuk Pelabuhan Klang dan Pulau Ketam,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -