Program BEEP Plus tarik perhatian Ali Biju

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program BEEP Plus Sabah dan Sarawak yang menyediakan geran sebanyak RM10 juta khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak menarik perhatian Datuk Ali Biju (PN-Saratok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau ingin tahu tempoh perlaksanaan program itu dan jumlah permohohan yang diterima di parlimennya dan sasaran manfaatnya.

- Advertisement -

“Akhirnya apakah langkah-langkah atau mekanisme yang diambil oleh kementerian untuk memantau keberkesanan semua program itu mencapai matlamatnya,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan langkah-langkah terkini kementerian untuk memberdayakan usahawan terutama daripada kalangan B40 dan usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan Skim Geran Usahawan Orang Asal.

Menjawab isu dibangkitkan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata Program BEEP Plus Sabah dan Sarawak dilancarkan pada Julai lalu.

Daripada RM100 juta yang diperuntukkan, katanya RM10 juta khas kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak yang pada masa sama turut layak memohon skim pembiayaan Usahawan Bumiputera di bawah skim sedia ada di bawah SME Corp. – HARAKAHDAILY 11/10/2023

- Advertisement -