
KUALA LUMPUR: Konflik yang berlaku antara Palestin-Israel ini telah berlanjutan lebih tujuh dekad lalu. Konflik ini bermusim dan berpanjangan walaupun pernah berlaku perang selama 6 hari, tetapi konflik itu tidak membawa kepada peperangan yang tidak terkawal.
Penganalisis Sosio-ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), Ahmad Fauzi Mustafa menimbulkan persoalan bahawa sejauh manakah konflik Palestin-Israel kali ini akan memberi kesan atau gangguan kepada pergerakan harga minyak mentah dunia?
“Hal ini kerana di sekeling kedua-dua kawasan konflik itu berada dalam lingkaran utama pengeluar minyak mentah dunia,” katanya.
Beliau menegaskan, konflik terbaharu ini perlu dipantau secara berhati-hati dan perlu dielakkan menjadi satu peperangan yang besar seperti mana yang pernah berlaku antara Ukraine dan Rusia.
“Akibat peperangan Ukraine-Rusia, sekatan telah dikenakan oleh negara-negara Barat terhadap Moscow sebagai tindak balas kepada perang yang telah memberi kepada ‘penguncupan mendadak’ ekonomi Rusia,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Tambah beliau, keadaan ini telah memperlihatkan Rusia bergerak dalam kemelesetan teruk dengan berlakunya susut nilai mata wang Ruble secara besar-besaran dan seterusnya turut menyebabkan penurunan kuasa beli untuk rakyatnya.

“Malahan, larangan ke atas import minyak Rusia, telah merebak kepada ekonomi global sehingga menyebabkan kos tenaga dan komoditi utama lain turut meningkat. Antaranya seperti gandum, baja, logam dan lain-lain lagi.
“Secara tidak langsung, ianya memberi impak kepada ekonomi global dengan kewujudan kadar inflasi yang sememangnya sudah tinggi buat masa ini,” ujarnya.
Ahmad Fauzi turut memberitahu, sebenarnya konflik Ukraine-Rusia agak jauh berbeza dengan konflik Palestin-Israel kerana dunia seolah-olah melihat tindakan Hamas yang telah mencerobohi negara haram Israel; sedangkan Israel yang terlebih dahulu diketahui merampas tanah air milik Palestin.
“Israel pula sentiasa mendapat sokongan kuat dari sekutunya iaitu Amerika Syarikat dan Britain, terutama dari aspek pertahanan dan ekonomi.
“Memang tidak berlaku sekatan ekonomi dalam konflik Palestin-Israel oleh negara Barat pun, kecuali Israel yang telah mengadakan sekatan total utiliti di Gaza seperti tiada bekalan elektrik, air dan gas serta kehancuran bandar Gaza telah menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti terus,” jelasnya.
Beliau turut berpandangan bahawa dari aspek ekonomi serantau, kemungkinan pasaran saham, bon dan komoditi global termasuk di Malaysia sekadar berisiko, sementara bergantung kepada bagaimana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara yang berkepentingan di rantau Asia Barat itu menangani konflik berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















