Pestabola Merdeka 2023: Palestin sah tarik diri

Datuk S. Sivasundaram
- Advertisement -

PETALING JAYA: Pasukan Palestin sah menarik diri sekali gus melupakan hasrat mereka beraksi di Pestabola Merdeka 2023 susulan situasi tegang di negara berkenaan ketika ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk S. Sivasundaram berkata penarikan diri itu dibuat pada saat akhir setelah menerima pengesahan daripada Persatuan Bolasepak Palestin kira-kira 2 pagi tadi.

Walaupun Palestin tidak dapat beraksi di edisi ke-42 kejohanan itu, Sivasundaram berkata format pertandingan tetap dikekalkan biarpun ia kini disertai hanya tiga pasukan – Malaysia, India dan Tajikistan.

“Berdasarkan situasi terbaharu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat ini (9 malam) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Tajikistan pula mendapat ‘bye’ dan akan terus layak ke final pada Selasa, 17 Okt (9 malam) di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berdasarkan jadual asal, Palestin dijadual bertemu Tajikistan Jumaat ini pada 4.30 petang dengan pasukan yang menang akan bertemu sama ada Malaysia atau India di pentas final.

Ditanya sama ada FAM akan mencari pengganti Palestin, Sivasundaram berkata masa semakin suntuk untuk mereka berbuat demikian memandangkan pasukan lain sudah mempunyai perancangan tertentu termasuk perlawanan persahabatan dengan negara lain.

Biarpun FAM tidak pernah berdepan situasi penarikan diri pasukan pada saat-saat akhir, Naib Presiden FAM Mohd Firdaus Mohamed menyifatkan ia sebagai satu pengajaran bagi mereka dan terpaksa menerima hakikat bahawa krisis dunia seperti apa berlaku di Palestin sesuatu yang sukar dielakkan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata Stadium Nasional Bukit Jalil bersiap sedia sepenuhnya bagi menganjurkan Pestabola Merdeka 2023 selepas proses penggantian rumput baharu Zeon Zoysia sejak April lepas.

Penanaman rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos RM1.4 juta yang ditaja Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – BERNAMA

- Advertisement -