
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Statistik dan Data Negeri (MSDNg) Terengganu, hari ini.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia negeri, penubuhan MSDNg negeri ini merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Januari tahun lalu.
Katanya, penubuhan MSDNg itu merupakan satu agenda utama dalam Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang bertujuan memperkukuh sistem sedia ada dengan penyelarasan yang lebih berkesan dalam membekalkan data bagi merangka dasar dan pembangunan negara.
“Penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara dan Majlis Statistik Data Daerah (MSDD) di setiap negeri adalah penting bagi memperkasakan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil.
“MSDNg bertindak sebagai majlis tertinggi di peringkat negeri dalam merancang dan menentukan hala tuju bagi memperkukuh penyelarasan statistik negeri dan daerah serta merangka dasar, strategi dan pelan tindakan yang jelas agar pengurusan sistem statistik rasmi negeri kekal dinamik dan relevan,” katanya.
Menurutnya, MSDD juga berperanan dalam merangka strategi, tadbir urus penyelarasan dan pengurusan sektor awam dan swasta di peringkat daerah serta menyelaras keperluan teknikal, serta standard kualiti data dan statistik di peringkat daerah.
MSDNg Terengganu dianggotai seramai 49 orang yang terdiri daripada Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan, setiausaha kerajaan negeri, pegawai daerah, ketua jabatan, persekutuan, dan negeri.
Manakala MSDD terdiri daripada datuk bandar atau yang dipertua, pegawai di peringkat persekutuan dan negeri vang berkaitan bidang keutamaan statistik.
Menurut kenyataan itu, penubuhan MSDNg Terengganu mampu memberikan impak positif antaranya capaian dan penyelarasan data yang lebih sistematik daripada pelbagai sumber serta meningkatkan data-culture dalam proses membuat keputusan berasaskan bukti.
Turut diadakan Pelancaran Unit Geographic Information System (GIS) Negeri Terengganu (UGIST) yang diselaraskan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan merupakan agensi induk sebagai pemantau dan sumber maklumat rasmi ekonomi negeri meliputi maklumat hasil guna tanah bagi keseluruhan sektor di negeri ini.
DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.
OpenDOSM Nexten ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun.
Tema sambutan MyStats Day adalah ‘Statistik Nadi Kehidupan’. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















