
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu merangka langkah untuk memastikan pekerja e-hailing mendapat pembelaan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022.
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, berbanding pekerja lain di Malaysia, golongan itu tidak mempunyai kesatuan sekerja kerana tidak dianggap sebagai bekerja.
Namun, katanya perkhidmatan itu semakin mendapat tumpuan dalam kalangan belia dan perlu diberikan hak sama rata secara komprehensif berdasar akta yang ada.
“Perkerja Grab Food dan Panda sebagai contoh tidak boleh menubuhkan kesatuan sekerja untuk berunding bagi mendapatkan hak gaji, keadaan kerja serta pelindungan yang lebih baik.
“Ini kerana kerja ekonomi gig dianggap sebagai kontraktor kerana mereka menyediakan perkhidmatan mengunakan bahan pihak lain dan bukan seperti pekerja lain yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 atau Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berkata, banyak isu yang boleh diperjuangkan oleh kesatuan sekerja ketika Malaysia sedang bergelumang dengan isu kenaikan gaji.
Menurutnya, masalah tersebut yang menghantui golongan tersebut tidak berubah sejak zaman sebelum penularan wabak Covid-19 dan masih kedengaran sehingga kini.
Selain masalah kenaikan gaji, katanya mereka dibebani masalah peningkatan harga bahan keperluan lain termasuk beras yang memberi bebanan besar.
“Apabila inflasi meningkat tanpa kenaikan gaji, ini bermakna pekerja kehilangan kuasa membeli, meskipun kadar itu turun sehingga dua peratus tetapi ia belum melegakan rakyat.
“Oleh demikian saya menyarankan kesatuan sekerja kita perlu fokus kepada isu-isu seperti ini kerana melalui kesatuan pekerja, suara pekerja mendapat perhatian,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















