
KHARTOUM: Serangan udara di pasar awam ibu negara Sudan dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 46 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Aktivis tempatan berkata, kejadian pada Ahad (10 Sept) itu merupakan salah satu serangan tunggal paling buruk dalam perang yang sudah berlarutan dalam tempoh hampir lima bulan di Sudan, lapor Wionews.
Pengeboman di selatan ibu negara Sudan itu berlaku kira-kira seminggu selepas serangan udara lain, juga di selatan Khartoum, yang membunuh 20 orang awam pada 1 Sept lalu.
Jawatankuasa penentangan tempatan dalam kenyataannya berkata, jumlah mangsa dalam pembunuhan beramai-ramai di pasar Qouro itu telah meningkat kepada 46 orang menjelang petang Ahad.
Tambah Jawatankuasa itu yang merupakan salah satu daripada banyak kumpulan yang pernah menganjurkan protes pro-demokrasi dan kini memberikan bantuan semasa perang, terdapat berpuluh-puluh orang awam yang lain mengalami kecederaan dan kesemua mangsa berkenaan telah dikejarkan ke hospital Bashair berdekatan.
“Pada kira-kira jam 7.15 pagi (0515 GMT), pesawat tentera mengebom kawasan pasar Qouro,” kata jawatankuasa itu, sambil menambah bahawa hospital telah mengeluarkan rayuan segera untuk semua profesional perubatan di kawasan itu untuk datang dan membantu merawat mangsa tercedera yang bilangannya semakin bertambah.

Anggaran konservatif dari Projek Data Lokasi & Peristiwa Konflik Bersenjata mengatakan hampir 7,500 orang telah terbunuh dalam perang yang bermula pada 15 April lalu antara ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan dengan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang memimpin Pasukan Angkatan Sokongan Pantas separ
Pada awal Julai lepas, serangan udara ke atas kawasan perumahan Omdurman, bandar saudara Khartoum, membunuh kira-kira 24 nyawa orang awam dan mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pihak tentera mengawal zon langit di atas Khartoum, manakala pejuang RSF pula menguasai jalan-jalan raya di bandar itu.
Tentera telah dituduh berulang kali membedil tanpa peduli ke atas kawasan kediaman di mana paramilitari telah menempatkan diri mereka, termasuk dengan mengusir dan merampas rumah orang awam.

Balai Cerap Konflik Sudan yang disokong Amerika Syarikat berkata, menempatkan diri mereka di kawasan kejiranan dan bangunan yang diduduki orang awam adalah ‘berpotensi melanggar Konvensyen Geneva’.
Ia menambah bahawa Angkatan Bersenjata Sudan ‘masih diperlukan untuk memastikan bahawa bahaya orang awam diminimumkan tanpa mengira sama ada sasaran telah dijadikan sasaran tentera yang sah’.
Sementara itu, RSF dalam kenyataannya pada Ahad menuduh ‘serangan udara pihak tentera terhadap orang awam di selatan Khartoum’ telah membunuh berpuluh-puluh nyawa.
Angkatan bersenjata Sudah bagaimanapun menafikan tuduhan RSF bahawa ia menyerang pasar Quoro, tetapi sebaliknya berkata, ia telah ‘mengarahkan serangannya terhadap pangkalan dan perhimpunan pemberontak (RSF) sebagai sasaran tentera yang sah, dan mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa’.
Terdahulu, negara-negara Barat telah menuduh RSF dan militia bersekutu melakukan pembunuhan berdasarkan etnik di Darfur, dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah membuka siasatan baharu ke atas dakwaan jenayah perang.

Selepas berbulan-bulan pertempuran berlaku, kedua-dua pihak tidak dapat merebut kelebihan yang menentukan kemenangan bagi pihak masing-masing.
Data PBB menunjukkan bahawa kira-kira 2.8 juta penduduk telah meninggalkan ibu kota Sudan, yang mempunyai populasi sebelum perang kira-kira lima juta.
Penduduk yang tidak boleh atau enggan meninggalkan Khartoum kekal terperangkap oleh serangan udara, tembakan artileri dan pertempuran di jalanan, terpaksa mencatu air dan elektrik.
Pada bulan-bulan awal perang, gencatan senjata menyaksikan AS dan Arab Saudi sebagai pihak pendamai antara kedua-dua kumpulan yang berperang telah dilanggar secara sistematik sebelum AS dan Saudi menangguhkan rundingan damai pada Jun.
Tindakan Burhan baru-baru ini, termasuk lawatan ke Mesir, Sudan Selatan dan Qatar, menandakan potensi kembali kepada diplomasi, walaupun beliau dan Daglo terus bertukar kenyataan bahwa mereka masih kekal bermusuhan antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 11/9/2023




















