
Dunia telah menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi enam negeri di Malaysia pada 12 Ogos baru-baru ini memberikan kemenangan bergaya kepada PAS-PN apabila gabungan permuafakatan dalam PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berjaya mengekalkan Kerajaan Terengganu dengan pukulan ‘knockout’ (KO) 32-0 mengalahkan PH-BN.
Pukulan hampir KO dengan keputusan Kedah 33-3 dan Kelantan meninggalkan ‘batu nisan’ 43-2 buat parti lawan
Sementara, kubu PH-BN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berjaya dirobekkan. Ini merupakan referendum jelas rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan PH-BN di Putrajaya.
Dari kejauhan, rakyat Sabah pula sedang memerhati dengan penuh penelitian perkembangan luar biasa senario terkini dunia politik di Semenanjung Malaysia itu dengan persoalan: apakah mungkin aura dan semarak rakyat di keenam-enam negeri tersebut turut menyelinap masuk ke setiap pelosok negeri Sabah pula.
Lanskap politik Sabah
Tentunya ada sesuatu yang istimewa yang perlu dikongsi bersama oleh rakyat Sabah. Justeru, bagi merungkai persoalan besar ini benar-benar berpijak di bumi nyata atau di sebaliknya, maka beberapa senario yang perlu difahami – sudah tentu dengan mengambil kira sejarah dan iklim politik Sabah terutama sejak Umno dibawa masuk ke Sabah pada tahun 1990an sehingga ke hari ini.
Lanskap politik Sabah seperti yang difahami amatlah berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Sejak awal pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah ditadbir oleh parti tempatan silih berganti. Ia dimulai oleh Ketua Menteri pertama, Tun Fuad Stephen (1963-1964) mewakili Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Dusun (UNKO), sebelum disusuli oleh Tan Sri Peter Lo Sui Yin (1965-1967) mewakili Persatuan Cina Sabah (SCA).
Ia kemudian disusuli oleh parti Gabungan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu(USNO) pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun (1965- 1975).
Seterusnya, ia disusuli oleh parti BERJAYA pimpinan Datuk Harris Salleh (1975-1985); dan selepas parti itu tewas pada tahun 1985, ia digantikan oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diasaskan oleh Datuk Pairin Kitingan yang berakhir pada tahun 1994.
Umno hanya mula bertapak secara rasmi di Sabah pada 1991 atas usaha gigih pimpinan USNO dan Berjaya dengan melantik Tun Mustapha sebagai Pengerusi Umno Sabah yang pertama.
Beliau ialah Bapa Kemerdekaan Sabah, mantan Ketua Menteri Sabah ke-3 bagi menarik sokongan rakayat pelbagai kaum.
Selepas itu, disusuli dengan pembentukan Barisan Nasional (BN) Sabah yang terdiri daripada gabungan beberapa parti-parti tempatan bagi menghadapi Pilihanraya Umum Negeri (PRU) tahun 1994.
Pada pilihan raya kali ini, PBS tumbang setelah berkuasa selama dua penggal bermula sejak 1985.
Maka, di sinilah bermulanya era penguasaan Kerajaan Sabah di bawah teraju Umno/BN selama 23 tahun, yang sekali gus telah merubah lanskap politik Sabah.
Namun, Umno/BN akhirnya tumbang dari takhtanya selepas tewas di tangan Parti Warisan-PH pada PRU-14 pada 2018
Kerajaan baharu Sabah
Perkembangan politik Sabah terus mencipta sejarah apabila PRN terpaksa diadakan bagi merebut 73 kerusi DUN pada 2020 untuk menamatkan kemelut politik Sabah yang semakin meruncing.
Pilihan raya tersebut menjadi medan pertempuran buat pertama kalinya PN Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor daripada Bersatu Sabah, yang berhadapan dengan PH-Warisan dan Umno-BN serta beberapa parti tempatan lain.
Dalam pilihan raya berkenaan, PN memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi membentuk kerajaan Sabah selepas tiada mana-mana gabungan parti mendapat kerusi majoriti, maka terbentuklah sebuah permuafakatan politik baharu antara PN, BN dan PBS, lalu membawa kepada penubuhan kerajaan baharu Sabah pada ketika itu.
Selepas itu, gabungan parti berkenaan dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Di sini juga, tercipta sejarah baharu buat PAS Sabah apabila pertama kalinya turut bersama dalam kerajaan berkenaan melalui ADUN lantikan yang diwakili oleh Dr Aliakbar Gulasan, yang juga merupakan Setiausaha PAS Negeri Sabah sehingga ke saat ini.
Sebagaimana yang difahami, PN Sabah terbentuk daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM- Bersatu Sabah), serta Parti Progresif Sabah (SAPP) pimpinan Datuk Yong Teck Lee, PAS di bawah kepimpinan Aminuddin Aling, dan Parti Solidariti Tanah Air (STAR) yang dipimpin Datuk Jefry Kitingan.
Sungguhpun demikian, gabungan ini menjadi lemah dan berusaha bangkit semula apabila Hajiji selaku pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sabah bersama pimpinannya menukar haluan dengan menubuhkan pula Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
STAR pula turut keluar dari PN pasca PRU-15 bagi menyokong kerajaan campuran PH-BN di peringkat persekutuan.
Justeru, bagi memberi nafas baharu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee telah dilantik sebagai pengerusi baharu PN Sabah untuk menggalas amanah bagi menyemarakkan sokongan rakyat kepada PN; yang mana Ronald adalah satu-satunya Ahli Parlimen Sabah yang menang atas tiket PN pada PRU -15.
Unik, kejutan di luar jangkaan
Jelas sekali, keunikan politik Sabah ini sering dikaitkan dengan kejutan di luar jangkaan. Benarlah apa yang disebutkan oleh pemain politik bahawa Sabah yang paling sering menukar tampuk pemerintahan kerajaan akibat gelagat segelintir ahli politikus negeri ini yang gilakan kuasa.
Terbaharu adalah percubaan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah oleh Umno/BN dengan membentuk jajaran baharu bersama parti pembangkang tetapi ternyata, ia gagal.
Jika kerajaan pimpinan Hajiji Noor tersilap langkah, sudah tentunya akan diadakan lagi PRN untuk Sabah dalam tempoh dua tahun.
Senario politik Sabah memang luar biasa yang tidak terdapat di negeri lain apabila kerajaan yang terbentuk ketika ini turut dianggotai oleh parti pembangkang di peringkat persekutuan seperti PAS.
PH yang sebelum ini adalah parti yang tewas dalam PRN menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.
Sementara Umno/BN pula, sebahagian ADUNnya berada di blok pembangkang; manakala beberapa ADUN lain bersama blok Kerajaan Negeri.
Apa pun senarionya,lanskap dan hala tuju politik Sabah dan pembentukan Kerajaan Negeri sering dicorakkan oleh gabungan parti yang memerintah Kerajaan Pusat.
PRN ke-16 Sabah 2025
Justeru, bagaimanakah PAS dan PN melangkah ke hadapan bagi menghadapi PRN ke-16 Sabah seawal 2025 akan datang dengan mengambil kira cabaran semasa yang begitu rencam PAS?
Walaupun masih tidak memenangi sebarang kerusi DUN mahupun Parlimen setiap kali penyertaannya dalam pilihan raya, namun PAS terus mara ke hadapan dan berkembang dengan pesat di Sabah.
Hingga saat ini, sudah ada 20 kawasan berdaftar daripada 25 bahagian parlimen seluruh Sabah yang aktif.
Sementara Bersatu Sabah yang diterajui oleh Ronald dan pimpinan baharu ketika ini terus melebarkan sayapnya ke seluruh pelosok negeri.
Telahan politik menyebut bahawa akan ada jajaran dan permuafakatan politik baharu bagi mendepani PRN ke-16 akan datang walaupun masih samar.
Sekadar andaian, Umno/BN dikatakan akan membentuk permuafakan politik bersama Warisan dan beberapa parti politik tempatan lain.
Sementara STAR, PBS dan SAPP sejak awal berprinsip dan berpendirian bahawa kepimpinan kerajaan negeri Sabah harus diurus oleh parti tempatan tanpa melibatkan parti dari semenanjung.
Kenyataan terbaharu SAPP yang mana ia juga merupakan sebahagian daripada GRS dan PN bahawa hanya parti gabungan tempatan sahaja perlu bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Sabah akan datang; dan menolak parti dari semenanjung.
Pendirian ini bagaimanapun disangkal keras oleh rakan dalam kerajaan GRS termasuk PN Sabah.
Sementara itu, Hajiji pula telah mengisytiharkan akan bersama PH bagi mendepani PRN akan datang sebagai tanda kebersamaan dengan kerajaan campuran peringkat persekutuan.
Walau bagaimanapun, andaian jajaran dan gabungan politik ini semuanya serba mungkin. ‘Tunggu dan lihat’ sebagaimana yang disebutkan oleh pimpinan teringgi parti Warisan, Datuk Muhammad Yusof Apdal.
Masanya akan tiba jua nanti apabila PRN menjelma. Jelas menunjukkan bahawa bagi membentuk jajaran baharu, masing-masing berusaha mengenal pasti kesesuaian sekutu politik untuk menjuarai politik Sabah menjelang PRN-16 kelak.
Justeru, melihat situasi yang begitu kompleks ini, PAS dan PN harus berani melangkah ke hadapan dengan strategi yang lebih ‘membumi’ bagi melihat sekutu politik yang secocok dengan agenda perjuangan rakyat bagi menguatkan gabungan PN Sabah sebelum PRN itu menjelma.
Dengan keyakinan yang mendalam dan disokong oleh aura kebangkitan rakyat PRN enam negeri baru-baru ini , tidak mustahil PAS dan PN Sabah mampu menjadi pencorak kepada masa depan politik negeri Sabah yang lebih gemilang.
Apa pun, hanya masa dan situasi akan menentukan segalanya.
SAHAR ABDUL MAJID
Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah




















