Gelombang PN bukan mimpi di siang hari

- Advertisement -

Kehadiran PERIKATAN NASIONAL (PN) ibarat kemunculan petinju baharu. Walaupun muda, tetapi cukup mahir dan bertenaga hingga menggerunkan petinju lama yang mempunyai rekod kemenangan lebih hebat.

Dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang baru berakhir, PN memberikan pukulan yang merebahkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang dikatakan gagah di Kedah dan Kelantan hingga tinggal nyawa-nyawa ikan.

- Advertisement -

Di Terengganu, pukulan dihayunkan cukup padu hingga menyebabkan PH-BN terduduk, tidak mampu bangun. Dalam istilah tinju, `knock out’ atau KO.

Walaupun tidak muncul juara di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, PN tewas bermaruah ibarat dalam gelanggang tinju, kalah dengan kiraan mata. Namun, lebih penting ialah pukulan PN mendatangkan kecederaan parah kepada PH-BN.

Kini satu lagi pertarungan bakal berlangsung dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram di Johor, negeri yang boleh dianggap sebagai gelanggang tuan rumah PH-BN.

Negeri di selatan semenanjung memang diakui sebagai kubu kuat BN sejak sekian lama. Jika keputusan PRN Johor 2022 dijadikan rujukan, BN memenangi 40 kerusi, manakala kerjasama PH dan MUDA memberikan 13 kerusi. PN pula hanya memenangi tiga kerusi di Endau, Maharani dan Bukit Kepong.

Namun ibarat petinju yang turut memegang kejuaraan di empat negeri, kehadiran PN membawa gelombang yang semakin sukar ditepis seperti yang berlaku di negeri jiran Johor – Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan.

Ini meletakkan PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September bukan sekadar menarik, malah amat penting kepada PN serta PH-BN.

Belenggu sindrom penafian

Dalam kalangan pimpinan PH-BN, masih ada yang berada dalam sindrom penafian, menyedari kuasa semakin terhakis, tetapi tetap mahu menegakkan benang basah. Mungkin untuk mententeramkan penyokong atau sekadar mahu menyedapkan rasa hati.

Sebagai contoh, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, melihat cakap-cakap politik konon gelombang PN akan menular ke Johor hanya omong kosong.

“PH yakin mampu mengekalkan kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram dengan kemenangan selesa. Soal peningkatan atau pengurangan majoriti, letak tepi dahulu. Apa yang penting PH dan BN memperkukuhkan jentera bersama untuk mencapai kemenangan selesa,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed, pula mermperkecilkan kekuatan PN dengan mendakwa gelombang PN bakal melanda Johor seperti bermimpi di siang hari.

Menurutnya, kekuatan PN di Johor hanya berkisar di kawasan utara Johor, iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parlimen Mersing.

Namun Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, lebih berpijak di bumi nyata apabila membincangkan gelombang PN di Johor.

Beliau mengakui bahawa PH-BN perlu bekerja keras menyekat gelombang PN sebelum menjadi ancaman di Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram.

Ada sedikit keikhlasan ulasannya apabila Timbalan Menteri Kewangan itu menyedari pengaruh PAS sebagai komponen PN dengan menyatakan bahawa PAS juga berada di Johor dan turut cuba memenangi PRK bagi mendapat sokongan rakyat.

“PAS kini hanya mempunyai satu kerusi di DUN Johor, iaitu Maharani yang diwakili Abdul Aziz Talib. PAS ini ada di merata tempat termasuk di Johor dan mereka tetap mencuba.

“Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Selangor melanda Johor. Di mana dahulu, PAS cuma ada lima kerusi, tetapi sekarang bersama PN mereka ada 22 kerusi,” katanya

Sindrom penafian sesetengah pemimpin PH-BN ibarat babak malar hijau (evergreen) dalam filem Pendekar Bujang Lapuk apabila Ramlee, Sudin dan Aziz berulang kali berkata `cobaan’ menyebabkan Pendekar Mustar berkata: “Ini bukan cobaan, ini betul-betul”.

Dr Mohd Mazri Yahya (kiri) dan  Zulkifli Jaafar menggalas tanggungjawab sebagai bakal calon PERIKATAN NASIONAL.

Bukti gelombang PN

Namun seperti kata Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram akan menjadi bukti penularan gelombang PN di Johor.

“Gelombang PN sudah sampai ke selatan tanah air. Gelombang ini sampai ke Johor… masuk ikut Muar dan akan sampai ke Johor Bahru… kalau Singapura pun pilihan raya, kita ambil sekali (berseloroh).

“Aura kemenangan yang bakal berlaku di Simpang Jeram dan Pulai adalah penentu sebagai isyarat penting kebangkitan rakyat di negeri ini.

Ini yang menyebabkan penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata PH dalam situasi perlu memastikan kemaraan gelombang PN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang terhenti di PRK nanti.

Malah, katanya PH perlu mendapat majoriti atau kemenangan lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mengikut teori jika digabungkan undi PH dan BN sepatutnya melonjak majoritinya, tetapi ini tidak berlaku ketika PRN lalu.

Bagi PN, katanya kemenangan di kedua-dua kerusi itu juga penting.

“Walaupun sukar, dapat mengurangkan majoriti dengan jauh lebih banyak untuk mempamerkan bahawa pengundi bukan sahaja di tiga negeri – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menyebelahi mereka, tetapi di Johor akan berlaku,” katanya.

Saingan sengit di Pulai dan Simpang Jeram

Di Pulai dalam PRU15, Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub yang mewakili PH memenangi kerusi itu dengan jumlah majoriti yang besar, iaitu 33,174 undi. Di Dun Simpang Jeram dalam PRN Johor pula, Allahyarham menang dengan majoriti 2,399 undi.

Jika dilihat jumlah majoriti PH di Pulai, secara logik PN berdepan cabaran getir untuk menang di parlimen itu, terutama jika pemilih yang mengundi BN dalam PRU15 menyokong PH dalam PRK nanti.

Bagaimanapun berdasarkan trend pengundian dalam PRN di enam negeri, keadaan itu tidak berlaku menyebabkan jangkaan keputusan di Pulai masih bersifat terbuka, terutama dengan perkembangan politik semasa yang lebih berpihak kepada PN.

Ini disokong dapatan tinjauan Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa) pada Julai lalu bahawa pengundi Melayu yang menyokong BN tidak semesti akan mengundi PH.

Di atas kertas, PH kelihatan mempunyai kelebihan jika keputusan PRN Johor dijadikan sandaran dengan undi PH dan BN jika digabungkan akan memastikan kemenangan calon PH. Namun senario sama seperti di Pulai dalam PRU15, adakah pengundi BN akan keluar dan mengundi PH?

Peratusan keluar mengundi dalam PRN Johor adalah antara yang terendah dalam sejarah pilihan raya negara ini. Sebagai contoh di Simpang Jeram, hanya 53.40 peratus keluar mengundi. Sekali lagi, keputusan berbeza dalam PRK boleh berlaku jika peratusan keluar mengundi lebih tinggi.

Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama calon PN Dun Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.

Selain itu di Simpang Jeram, PN melalui PAS mempunyai rekod kemenangan membanggakan apabila menang dalam PRU pada 2008 dan 2013. Kawasan utara Johor seperti Muar juga mempunyai penyokong akar umbi yang sanggup bekerja keras untuk kemenangan PN.

Faktor pengundi muda juga memainkan peranan penting dalam PRK dengan parti yang mampu menarik golongan muda mempunyai kelebihan berbanding lawan.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Pulai, kumpulan pengundi terbesar adalah golongan muda membabitkan kategori umur 21 hingga 29 tahun (21.05 peratus atau 35,074 pengundi), diikuti umur 30 hingga 39 tahun (34,235) dan umur 40 hingga 49 tahun (32,271).

Kumpulan pengundi terbesar di Simpang Jeram pula adalah golongan muda berumur antara 30 hingga 39 tahun (23.10 peratus atau 9,326 pengundi), diikuti umur 21 hingga 29 tahun (9,160), dan umur 40 hingga 49 tahun (7,113).

Esok adalah hari penamaan calon di Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram, diikuti kempen selama 13 hari hingga hari pengundian dan keputusan pada 9 September nanti.

Adakah PH-BN mampu terus bertahan dengan gelombang PN yang semakin bergelora? PN kelihatan bersedia melakukan tumbukan KO atau sekurang-kurangnya memberikan kecederaan parah.

Dalam sukan tinju, antara faktor kemenangan petinju ialah kemahiran dan teknik, kekuatan fizikal, strategi dan taktik, kecergasan dan pengalaman. Elemen yang sama juga penting menentukan keputusan di Pulai dan Simpang Jeram nanti. – HARAKAHDAILY 25/8/2023

- Advertisement -