
KUALA LUMPUR: Setiap sistem perbankan termasuklah Islamik tidak terlepas daripada penindasan sistem penciptaan wang daripada hutang.
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbankan Islamik, Dato’ Manap Abdul Wahab berkata sistem kewangan Islam yang sebenar (Islamic Finance) harus bersifat adil dan saksama.
Mantan CEO Bank Islamik, Dato Manap Abdul Wahab berkata sistem kewangan Islam yang sebenar (Islamic Finance) harus bersifat adil dan saksama.
“Apa yang bagusnya bila berlakunya pelbagai krisis kewangan termasuklah Covid-19 sendiri menunjukkan sifat sebenar perbankan Islamik, yang mana ketika rakyat sedang bergelut dengan kehilangan peluang pendapatan.
“Ia disusuli dengan perniaga-peniaga yang terpaksa tutup kedai dan seumpamanya namun setiap bank termasuklah Islamik tidak pernah mengalami sebarang kerugian dan malah semakin membuat keuntungan daripada pinjaman-pinjaman yang diberikan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Rasulullah SAW sendiri bersabda bahawa setiap hutang yang menghasilkan keuntungan ialah riba.
“Mereka (Setiap Perbankan Islam) sering mendakwa yang mereka mengamalkan sistem mudharabah (kerjasama) yang mana segala keuntungan dan kerugian dikongsi bersama.
“Namun, hakikatnya peminjam sahaja yang kena menanggung semua kerugian yang mana kamu semua boleh lihat sendiri setiap kali krisis berlaku dan kalau itu pun masih tak sedar saya sendiri tak tahu nak kata apa,” tegasnya kepada HarakahDaily.
Beliau berkata demikian dalam ceramahnya berjudul, Magiknya Sistem Perbankan yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Dalam ceramah tersebut, beliau turut menyatakan sistem kewangan sebegini telah menyumbang kepada pelbagai krisis kewangan yang berlaku.
“Ini kerana setiap kali mana-mana individu mengambil pinjaman dengan bank, maka wang baharu akan dicipta daripada hasil pinjaman tersebut.
“Dengan kata lain, semakin ramai meminjam maka semakin banyak bank membuat keuntungan daripada penciptaan wang tersebut yang mana perkara tersebut tidak boleh berlaku dalam dunia perniagaan sebenar,” hujahnya.
Ditanya mengenai langkah menghadapi isu-isu tersebut, beliau menyatakan kehidupan bersederhana perlu diamalkan oleh setiap rakyat.
“Apabila kita sendiri mengamalkan kehidupan bersederhana termasuklah memgurangkan amalan berhutang, maka sebarang krisis kewangan yang melanda tidak akan memberi impak yang besar kepada kita.
“Sementara untuk dunia perniagaan pula, perlu adanya amalan kewangan Islamik sebenar, yang mana segala untung rugi dikongsi bersama-sama dan saya sendiri membuat perkara sedemikian dalam perniagaan tetapi perkara tersebut mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan secara besar-besaran di peringkat negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023




















