Momentum PN PRN15 beri kesan PRK di Johor

- Advertisement -

KOTA BHARU: Momentum kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas dijangka memberi kesan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor 9 September ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pencapaian PN di Selangor dan Pulau Pinang sangat menarik apabila berjaya menafikan kekuatan PH-BN.

Katanya, di Selangor merupakan kejayaan yang besar kerana PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga dengan memperolehi 22 kerusi DUN.

“Kalau tidak mungkin kita boleh menguasai Selangor baru-baru ini, jadi ini merupakan potensi yang besar melihat perkembangan sekarang.

“Di Negeri Sembilan biar pun tidak banyak kerusi yang dimenangi PN, namun gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan berjaya memecahkan penguasaan PH dan BN,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat DUN Panchor hari ini.

Oleh itu kata beliau peluang PN pada PRK di Johor terbuka luas dengan kewibawaan calon yang mampu memenuhi aspirasi rakyat di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Katanya di Parlimen Pulai PN menampilkan calon yang terbaik dan di DUN Simpang Jeram dahulu dikenali Sungai Abong PAS pernah menang.

“Sekiranya kita menang pada PRK tersebut sebenarnya akan membuka jalan lebih mudah untuk PN menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -