PAS nafi punca bukan Melayu tak dicalonkan exco PH

Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menafikan kenyataan pemimpin PKR yang cuba untuk mengaitkan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebagai punca PKR tidak mencalonkan mana-mana bukan Melayu untuk jawatan exco di negeri bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh menyifatkan bahawa kenyataan yang disampaikan oleh salah seorang pemimpin PKR negeri Melaka itu sebagai dangkal dengan perjuangan PAS.

- Advertisement -

“Ada pemimpin PKR yang mengaitkan isu pemilihan exco PKR semua Melayu ada kaitan dengan ‘sentimen perkauman dan agama sempit’ yang kononnya ditiup oleh PN dan PAS.”

Nuridah berkata, tidak keterlaluan dikatakan bahawa pemimpin tersebut memang dangkal dengan perjuangan PAS, seolah-olah tidak memahami fikrah PAS dengan menyatakan demikian.

“Memang kebiasaan mereka nak melonggokkan rasa tidak puas hati kepada PAS terutamanya. Mereka patut memahami dengan membaca terutamanya (bahan bacaan berkenaan) fikrah PAS,” tegasnya.

Menurut beliau, PAS tidak berpegang kepada dasar yang sempit dan tidak sesuai untuk rakyat Malaysia. 

Hal tersebut, ujar Nuridah, telah dibuktikan apabila PAS kekal bertahan lama dan mendapat mandat rakyat dengan cemerlang, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan PRN lepas.

“PAS telah mengamalkan banyak dasar-dasar yang inklusif untuk rakyat, seperti berlaku adil untuk semua dalam pembagian tanah untuk tapak rumah tanpa mengira parti dan keturunan rakyat yang memohon, serta menjaga keharmonian dengan enghormati pegangan agama masing-masing dengan tidak memusnahkan rumah ibadat agama-agama lain,” jelasnya.

Sehubungan itu, Nuridah turut mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang baru dilantik, dan mengharapkan exco-exco negeri dapat bertugas dengan penuh adil dan efisien.

“Kepada exco yang baru dilantik, diucapkan tahniah dan selamat bertugas dgn penuh adil dan efisien terhadap seluruh rakyat negeri Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -