PN umum calon PRK Parlimen Pulai, Dun Simpang Jeram

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Zulkifli Jaafar dan Dr Mohd Mazri Yahya diumumkan sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram.

- Advertisement -

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu pada majlis pengumuman calon bagi kedua-dua PRK itu di Bilik Gerakan Utama PN Pulai di sini, petang ini.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PN Johor dan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ustaz Abdullah Hussin.

Zulkifli, 50, adalah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai sementara Dr Mohd Mazri Yahya, 54, merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.

Zulkifli merupakan anak jati Johor adalah usahawan berjaya yang dikenali dalam kalangan masyarakat sementara Dr Mazri adalah pakar perunding pembedahan am, vaskular dan endovaskular.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 26 Ogos ini, pengundian awal 5 September dan hari mengundi 9 September.

Kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram kosong berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu. – HARAKAHDAILY 23/8/2023

- Advertisement -