PN menang: Petunjuk ketidakpuasan hati rakyat terhadap PH

Dr Mahaaganapathy. D
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah satu indikasi (atau petunjuk) referendum ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan persekutuan.

Pensyarah, Prof Madya Dr Mahaaganapathy. D berkata, pelbagai janji manis yang tidak ditunaikan oleh Pakatan Harapan (PH) telah mengundang kepada kemarahan rakyat yang menyebabkan perkara tersebut berlaku.

“Apabila kita lihat balik pelbagai janji yang diberikan oleh PH setelah mereka mentadbir kerajaan pusat, bukan sahaja keadaan ekonomi rakyat masih terhimpit daripada kenaikan kos sara hidup tetapi mereka turut gagal tunaikan janji-janji mereka beri kepada rakyat sebelum ini,” katanya kepada HarakahDaily.

- Advertisement -

Beliau menyatakan kerajaan persekutuan pada masa ini juga tidak mempunyai solusi yang konkrit bagi menghadapi pelbagai krisis ekonomi yang melanda di negara ini.

“Kita semua sedia maklum bahawa setiap janji yang diumumkan oleh mana-mana parti politik perlu ditunaikan kerana sesiapa sahaja memungkiri janji takkan mendapat semula kepercayaan kebanyakan rakyat walau apa pun,” ujarnya.

Tambah beliau, janji yang perlu diberikan mana-mana parti politik perlu bersifat realistik supaya tidak berlakunya sebarang penipuan.

“Cuba kita lihat balik mengapa manifesto-manifesto yang dikemukakan oleh PN mendapat sambutan yang tinggi daripada pelbagai lapisan masyarakat iaitu kerana janji-janji tersebut bersifat realistik dan dapat ditunaikan,

“Berbeza pula dengan PH yang mana dahulunya menjanjikan penurunan harga minyak, kos sara hidup dan seumpamanya namun hakikatnya perkara sebaliknya pula yang terjadi,” katanya.

Apabila ditanya mengenai nasihat yang ingin disampaikan kepada kedua-dua parti politik, beliau menyatakan kebajikan rakyat merupakan perkara asas yang perlu diberikan tumpuan utama oleh kedua-dua belah pihak.

“Ini kerana rakyat inginkan solusi kepada setiap masalah berkaitan kos sara hidup yang mana kedua-dua belah pihak (PN dan PH) perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dan juga menjaga kebajikan rakyat dengan baik,

“Apa yang paling penting ialah menunaikan janji-janji yang diberikan kepada rakyat dan tidak melakukan sebarang permainan politik yang tidak berasas termasuklah isu perkauman, agama dan seumpamanya,” katanya. . – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -